e-LATiH platform kemahiran oleh Kementeiran Sumber Manusia

Putrajaya: Lebih 5,000 rakyat Malaysia mendaftar e-LATiH iaitu platform agregator kemahiran dan pengetahuan terbesar dalam talian yang dilancarkan Kementerian Sumber Manusia (KSM), semalam.

Berdasarkan data pendaftaran e-LATiH setakat ini, rakyat dari Selangor paling ramai mendaftar iaitu mewakili 30 peratus diikuti Kuala Lumpur (20 peratus); Johor dan Melaka (10 peratus); negeri Pantai Timur (10 peratus); Pulau Pinang (10 peratus).

Selain itu, rakyat Malaysia yang menganggur dan sedang mencari pekerjaan adalah paling ramai mendaftar iaitu 35 peratus diikuti orang dewasa bekerja (25 peratus), suri rumah (24 peratus), pelajar universiti (10 peratus) dan kanak-kanak bersekolah (enam peratus).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, dalam tempoh 24 jam sejak dilancarkan, seramai 5,240 rakyat Malaysia telah mendaftar dan mula memanfaatkan kursus melalui platform tersebut.

“Saya berasa gembira kerana rakyat Malaysia telah merebut peluang ini dan memanfaatkan pengetahuan tersebut dengan baik.

“Ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia dapat menyesuaikan diri dan bersedia menerapkan teknologi dalam norma pembelajaran yang baharu,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Saravanan berkata, jumlah pengguna yang menggunakan platform e-LATiH dijangka mencecah satu juta menjelang akhir Jun 2021 dan jumlah itu dijangka bertambah kepada dua juta pengguna menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan PSMB untuk memperbanyakkan kandungan dan dimuat naik ke platform e-LATiH setiap minggu selain penambahan kandungan dibuat dalam bahasa Malaysia dan bahasa lain pada akhir bulan ini.

“Ini bagi memastikan bahawa akan ada lebih daripada 1,000 kursus yang tersedia untuk semua rakyat Malaysia secara percuma.

Sumber: K! ONLINE