Kuala Lumpur: Kedudukan Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini stabil dan semakin kukuh susulan jumlah aset yang melebihi liabiliti serta peningkatan dana simpanan pendeposit dan kadar agihan, maklum Kementerian Kewangan (MOF).
MOF memaklumkan pada 31 Disember, 2025, aset TH berjumlah RM98.58 bilion melebihi liabiliti RM95.63 bilion manakala dana simpanan pendeposit meningkat daripada RM75.4 bilion pada 2018 kepada RM93.4 bilion pada 2025.
“Kadar agihan juga meningkat daripada 1.25 peratus (2018) kepada 3.50 peratus (2025), berjumlah RM3.22 bilion,” menurut kementerian itu dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, MOF turut menegaskan bahawa simpanan pendeposit TH selamat dan keseluruhan simpanan setiap pendeposit dijamin oleh kerajaan di bawah Seksyen 24 Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
“Simpanan haji rakyat selamat, dan institusi yang menyimpan cita-cita haji rakyat akan sentiasa dijaga, untuk generasi hari ini dan generasi akan datang,” jelas kementerian itu.
Dalam pada itu, MOF menegaskan kerugian TH berpunca daripada salah urus kewangan dan pelaburan sebelum tahun 2018 itu tidak hilang.
Menurutnya, kerajaan memikul kos penyelamatan menerusi wang rakyat dan pembayar cukai.
“(Seramai) 9.7 juta pendeposit turut memikulnya, menerima kadar agihan serendah 1.25 peratus pada tahun 2018 dan sekitar tiga peratus semasa tahun pemulihan. Harga salah urus itu benar-benar dibayar oleh semua,” kata MOF.
Kementerian Kewangan menegaskan kerajaan tidak akan campur tangan serta tidak akan melindungi sesiapa dan keputusan pendakwaan akan terletak sepenuhnya pada pendakwa raya.
“Atas sebab yang sama juga, kerajaan komited memastikan krisis ini tidak berulang. Selaras dengan syor RCI, kerajaan akan menyusul dengan pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) akan diteruskan, antaranya untuk memperkenalkan kawal selia Suruhanjaya Sekuriti ke atas aktiviti pelaburan Tabung Haji,” maklum MOF.
Terdahulu, ketika menggulung mesyuarat khas parlimen hari ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata tahap kerugian TH hampir RM13 bilion, iaitu kerugian RM10.2 bilion yang ditanggung kerajaan melalui Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) pada 2018 dan rosot nilai RM2.6 bilion yang ditanggung TH sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd
