am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kontrak dua pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji (TH) yang ditamatkan pada 2021 dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika itu, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tanpa memberikan sebarang alasan.
Penjelasan itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, susulan satu daripada dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) yang mendedahkan penamatan kontrak secara mengejut membabitkan keduanya walaupun merekodkan prestasi perkhidmatan yang baik.
“Keputusan untuk menarik balik lantikan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff dan Pengerusi TH, Tan Sri Md Nor Yusof pada 2021 dibuat oleh Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada ketika itu.
“Tiada alasan yang diberikan oleh menteri,” katanya pada sesi penggulungan Sidang Khas RCI TH di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam laporannya, RCI mendapati menteri di bawah Seksyen 6(5) Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) mempunyai kuasa membatalkan pelantikan mana-mana anggota lembaga pada bila-bila masa tanpa memberikan sebab.
Berdasarkan laporan terbabit, kuasa itu digunakan bagi menamatkan perkhidmatan Nik Mohd Hasyudeen dan bekas Md Nor sebelum kontrak masing-masing berakhir.
Nik Mohd Hasyudeen ditamatkan perkhidmatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada 5 Mei 2021, iaitu sebelum kontraknya yang disambung selama dua tahun berakhir pada 31 Ogos 2021, manakala Md Nor pula ditamatkan sebagai Pengerusi TH pada 15 Oktober 2021 sebelum tamat tempoh pelantikannya.
Susulan pendedahan itu, suruhanjaya berpandangan kuasa membatalkan pelantikan mana-mana anggota lembaga tanpa sebab adalah tidak wajar dikekalkan dalam Akta 535, sebaliknya suruhanjaya itu mencadangkan supaya sebarang keputusan menamatkan pelantikan dirujuk terlebih dahulu kepada jawatankuasa atau badan penasihat bebas yang dicadangkan ditubuhkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

