Copenhagen: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran kepada negara-negara Eropah yang membuka pintu sempadan secara tergesa-gesa biarpun kes baharu COVID-19 mencatatkan penurunan.
Pengarah WHO Eropah, Hans Kluge, berkata ini bukan masa untuk mengambil mudah perkara itu walaupun jumlah kes baharu dan kematian akibat wabak terbabit merekodkan penurunan di beberapa tempat. “Penurunan kes tidak menyembunyikan jumlah penularan dan menimbulkan kebimbangan berhubung jangkitan dalam komuniti.
“Ketika ini, sebilangan besar negara Eropah masih terdedah dengan jangkitan dan penularan pandemik itu,” katanya.
Lebih sejuta kes baharu COVID-19 direkodkan setiap minggu di 53 negara dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) wilayah Eropah termasuk di Asia Tengah.
Namun, jumlah yang dilaporkan itu menurun dalam tempoh empat minggu lalu manakala jumlah kematian turut mencatatkan penurunan sejak dua minggu lalu.
Jumlah kematian di seluruh dunia mencatatkan angka hampir 2.4 juta kes dengan negara paling terkesan adalah Amerika Syarikat (AS), manakala Asia Barat merekodkan lebih 100,000 kematian setakat ini.
Eropah pada hujung bulan lalu menyekat kemasukan pelancong dari negara yang diklasifikasikan sebagai kawasan mutasi atau paling teruk dijangkiti varian wabak berkenaan.
Biarpun kadar jangkitan menurun, masih wujud kebimbangan kemungkinan penularan baharu boleh berlaku berpunca daripada kemasukan pelancong.
Menteri Kesihatan Perancis, Olivier Veran sebelum ini dilaporkan memberi amaran berhubung situasi di Moselle yang bersempadan dengan Jerman selepas mengesan penularan virus dari varian Afrika Selatan dan Brazil. – AFP
Malay News
International Desk



