Presiden FAM Berjumpa dengan PM Muhyiddin

Kuala Lumpur: Presiden FAM Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin Berjumpa dengan PM Muhyiddin di pejabat bangunan Perdana Putra hari ini. Hadir sama Naib Presiden FAM merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Super League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.
Saya tertarik dengan perkongsian Hamidin mengenai agenda terkini dan hala tuju perkembangan bola sepak tempatan yang direncana FAM, antaranya saingan Liga Malaysia dan persiapan pasukan kebangsaan untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Saya juga sependapat dengan Hamidin bahawa sukan bola sepak negara perlu diberi nafas baharu dan diperkasakan semula susulan pandemik COVID-19 yang telah memberi kesan terhadap perkembangan dan aktiviti sukan nombor satu negara itu ketika ini.
Saya tegaskan bahawa bola sepak tidak hanya tertumpu kepada saingan Liga Malaysia di bawah seliaan FAM, sebaliknya meliputi keseluruhan rantaian sukan itu di pelbagai peringkat seperti industri hiliran dan operator sukan berkaitan.

Saya juga mengambil maklum mengenai langkah-langkah yang diambil FAM dalam memastikan Liga Malaysia yang dijadual bermula Mac ini mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, bagi menjamin penularan wabak COVID-19 dapat dielakkan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sentiasa berkongsi maklumat serta perkembangan terkini mengenai penganjuran Liga Malaysia dan saya yakin dengan kerjasama erat FAM, kemeriahan sukan bola sepak kembali dapat dinikmati selepas ini.
Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Hamidin kerana dipilih semula selaku Presiden FAM untuk penggal 2021-2025 dan yakin dengan pengalaman yang ada, beliau mampu memacu bola sepak negara ke tahap lebih tinggi.

Saya harap agar FAM di bawah kepimpinan Hamidin dapat menghadiahkan berita gembira untuk rakyat dengan mengemudi skuad Harimau Malaya beraksi di pusingan akhir Kejohanan Piala Asia 2023 yang dijadual berlangsung di China. sumber: official page Muhyiddin Yassin

Malay News
National Desk

Scroll to Top