mohd_iskandar@bh.com.my
KUALA LUMPUR: FELDA menafikan agensi itu mempunyai kaitan dengan entiti klon, Felda Invest yang tersenarai dalam amaran Senarai Peringatan Pelabur dikeluarkan Suruhanjaya Sekuriti (SC), baru-baru ini.
FELDA dalam kenyataan memaklumkan, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Dang Wangi, hari ini berhubung perkara itu.
“Laporan polis adalah bagi memelihara kepentingan nama baik FELDA dan menjaga integriti organisasi ini.
“FELDA akan meneruskan tindakan undang-undang sekiranya entiti ini masih aktif dan bergerak menggunakan nama FELDA secara tidak sah,” katanya.
Menerusi kenyataan sama, FELDA menyeru pelabur, warganya dan masyarakat untuk tidak terbabit dengan sebarang tawaran daripada entiti berkenaan yang secara terang-terangan menyalahgunakan nama FELDA untuk kepentingan sendiri.
“FELDA juga menyokong usaha SC sebagai pengawal selia pasaran modal Malaysia yang mengeluarkan amaran ini bagi melindungi pelabur.
“Bagaimanapun, bagi tujuan penjelasan dan mengelakkan kekeliruan, ingin dimaklumkan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) adalah syarikat milikan penuh FELDA yang sah dan tidak seharusnya disalah tafsir atau disamakan dengan Felda Invest yang dimasukkan dalam Senarai Peringatan Pelabur ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




