UPM perkasa akses pendidikan, salur bantuan kepada 4 pelajar kurang berkemampuan

UPM perkasa akses pendidikan, salur bantuan kepada 4 pelajar kurang berkemampuan

Kota Tinggi: Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkasa akses pendidikan tinggi menerusi penyaluran bantuan pendidikan berjumlah RM2,000 kepada empat pelajar baharu daripada keluarga yang berdepan kekangan kewangan.

Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Datuk Seri Jailani Johari berkata, bantuan tersebut merangkumi sokongan yuran pengajian, bantuan sara diri serta insentif pendidikan YPS bagi memastikan pelajar dapat memulakan pengajian dalam keadaan lebih kondusif dan terjamin.

Beliau menyampaikan sumbangan kepada empat pelajar baharu Program Asasi Sains Pertanian UPM iaitu Ainul Mardhiah Mohamad Faizal, Muhammad Zulhilmi Ridzauddin, Syah Hiddin Rasul dan Husna Jaida Binti Sheik Hazrin menerusi sesi ziarah di sekitar Kota Tinggi dan Skudai, Johor.

Menurutnya, inisiatif berkenaan merupakan fasa permulaan Program Ziarah Kasih Mahasiswa Baharu Asasi UPM yang memberi fokus kepada pendekatan turun padang bagi menyantuni keluarga pelajar yang memerlukan sokongan awal sebelum memulakan pengajian di universiti.

“UPM percaya akses kepada pendidikan tinggi tidak seharusnya terhalang oleh kekangan ekonomi. Melalui pendekatan ziarah dan intervensi terus kepada keluarga pelajar, universiti dapat memahami keperluan sebenar mereka serta memastikan kebajikan mahasiswa terus menjadi keutamaan,” katanya.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu serta Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPM, Nuqman Naufal.

Tambah beliau, selepas pelaksanaan fasa awal di Johor, program Ziarah Kasih Mahasiswa Baharu UPM akan diperluaskan ke seluruh negara bagi memastikan lebih ramai pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah terus mendapat peluang melanjutkan pengajian tanpa tercicir daripada sistem pendidikan tinggi.

Inisiatif berimpak sosial itu selari dengan aspirasi yang digariskan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, yang menggesa institusi pendidikan tinggi untuk memperkukuh agenda kebajikan mahasiswa melalui pendekatan turun padang dan bantuan bersasar kepada keluarga pelajar yang memerlukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top