OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, semalam berkata beliau diuji positif COVID-19, namun berada dalam keadaan baik dan akan terus bekerja dari rumah sambil mematuhi garis panduan kesihatan awam.
Trudeau menjalani kuarantin kendiri minggu lalu selepas salah seorang daripada anaknya diuji positif namun ketika itu, beliau diuji negatif menerusi ujian ART, katanya kepada Canadian Press.
“Pagi ini, saya diuji positif COVID-19. Saya berasa dalam keadaan baik – dan saya akan terus bekerja dari rumah pada minggu ini sambil mematuhi garis panduan kesihatan awam,” menurut Trudeau dalam satu catatan di Twitter.
Beliau tidak dapat menghadiri sidang Parlimen semalam apabila ia dibuka semula selepas ditutup bagi cuti musim sejuk. Beliau berhasrat untuk menghadirinya secara maya.
Trudeau, 50, menjalani kuarantin kendiri selama dua minggu pada Mac 2020 semasa permulaan pandemik selepas isterinya, Sophie, diuji positif bagi COVID-19.
Beberapa menteri kabinet Kanada termasuk Menteri Ehwal Luar Melanie Joly, juga dijangkiti COVID-19 dalam tempoh beberapa bulan lalu.
Beberapa pemimpin dunia negara-negara Barat juga dijangkiti coronavirus sebelum ini termasuk mantan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, yang kedua-duanya dijangkiti pada 2020. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




