N Sembilan baiki 17 rumah rosak akibat ribut

N Sembilan baiki 17 rumah rosak akibat ribut

bhnews@bh.com.my

PORT DICKSON: Sebanyak 17 rumah penduduk di Rumah Rakyat Kampung Pengkalan Durian Linggi, yang rosak dilanda ribut Isnin lalu sudah dibaik pulih sepenuhnya, semalam.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Rusli Abdullah, berkata kerja membaik pulih itu membabitkan kos keseluruhannya hampir RM30,000 menerusi Tabung Bencana Alam Negeri Sembilan.

Dalam kejadian itu, terdapat sebahagian rumah penduduk yang rosak teruk terutama di bahagian atap apabila diterbangkan angin kuat.

“Setiap rumah membabitkan kos baik pulih dengan anggaran kasar antara RM500 hingga RM1,600,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ini adalah kejadian pertama ribut dan puting beliung yang melanda perkampungan berkenaan dan merosakkan kediaman penduduk, namun tiada yang cedera dalam kejadian itu.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, dalam kenyataan hari ini meminta orang ramai ambil cakna dengan amaran atau makluman daripada pihak berkuasa mengenai kemungkinan berlaku ribut dan puting beliung.

Ini susulan Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan beberapa negeri di pantai barat berisiko mengalami puting beliung seperti berlaku di Perak, baru-baru ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top