
Klip terbaharu yang tular memaparkan kesemua suspek kes tersebut. – FOTO: Agensi
JAKARTA – Sebuah universiti terkemuka di Indonesia menggantung pengajian 16 pelajar jurusan undang-undang atas dakwaan melakukan gangguan seksual.
Kes menggemparkan itu melibatkan penuntut Universitas Indonesia (UI) turut menjadi tular dan mengundang kemarahan orang ramai.
Menurut media tempatan, kira-kira 20 pelajar dan tujuh pensyarah wanita menjadi sasaran untuk kandungan tidak senonoh dalam sebuah kumpulan sembang.
Tangkapan layar perbualan lucah mereka turut tersebar di platform X pada akhir minggu lalu.
Kesemua pelaku digantung berkuat kuasa pada Rabu hingga 30 Mei depan.
Sepanjang tempoh tersebut, mereka dilarang menyertai sebarang aktiviti akademik termasuk sesi kuliah.
Sebagai respons terhadap insiden itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi, Brian Yuliarto menegaskan universiti perlu memastikan persekitaran yang selamat dan bebas dari segala bentuk salah laku.
Menerusi klip terbaharu, kesemua pelaku dilihat tampil di auditorium kampus tersebut untuk memohon maaf setelah didesak penuntut UI.
Data badan pemantau Jurnal Pendidikan dan Pembelajaran Indonesia (JPPI) merekodkan kira-kira 233 kes keganasan di sekolah, universiti dan institusi lain pada tahun ini yang mana hampir separuh daripadanya melibatkan kes serangan seksual. – Agensi



