'Jom Beli Produk Malaysia'

'Jom Beli Produk Malaysia'

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kempen Beli Barangan Malaysia ditransformasikan kepada ‘Jom Beli Produk Malaysia’ (Jom Malaysia) sebagai gerakan nasional berteraskan patriotisme ekonomi.

Transformasi itu bukan saja membabitkan pertukaran nama dan logo, malah perubahan dari segi objektif, strategi dan pendekatan selaras perubahan landskap perdagangan serta tingkah laku pengguna.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata langkah itu diambil bagi memperkukuh penggunaan produk tempatan, meningkatkan daya saing usahawan dan mengurangkan kebergantungan negara kepada import.

Katanya, gerakan itu berasaskan empat teras utama iaitu menjadikan pembelian produk Malaysia sebagai gerakan nasional, mengamalkan pendekatan ‘whole-of-nation’ yang membabitkan kerajaan, industri dan rakyat, memperluaskan skop kepada sektor perkhidmatan selain produk, serta memperluaskan sasaran ke pasaran antarabangsa.

“Kita mahu menyemai semangat patriotisme ekonomi dalam kalangan rakyat kerana apabila produk tempatan diberi keutamaan, ia bukan sahaja membantu pertumbuhan ekonomi negara, malah mengurangkan kebergantungan kepada import serta memperkukuh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Transformasi Jom Beli Produk Malaysia bersempena Festival Jom Malaysia X Pesta Kita 2026 di sini, hari ini.

Program di Pasar Seni dari 26 hingga 28 Jun ini menghimpunkan 123 usahawan dan pempamer dari seluruh negara yang menawarkan pelbagai produk serta perkhidmatan tempatan meliputi makanan dan minuman, fesyen, kraftangan, produk gaya hidup, kosmetik, teknologi dan industri kreatif.

Armizan berkata pendekatan baharu itu turut mengiktiraf sektor perkhidmatan sebagai antara pemacu penting ekonomi negara, berbanding sebelum ini yang lebih tertumpu kepada produk fizikal.

Katanya, KPDN turut menyasarkan bukan sahaja pengguna tempatan, malah pelancong dan pasaran antarabangsa bagi memperluaskan penembusan produk Malaysia.

“Bagi memperkukuh pelaksanaan inisiatif itu sepanjang tahun ini, KPDN akan melaksanakan beberapa program strategik termasuk `KITA KLIK!’ menerusi kerjasama dengan platform e-dagang bagi memperluaskan capaian pasaran digital produk tempatan.

“Selain itu, inisiatif `Kita Untuk Kita’ akan dilaksanakan bersama rangkaian pasar raya dan peruncit tempatan bagi meningkatkan pendedahan serta akses produk Malaysia kepada pengguna dan pelancong.

“Kita juga bekerjasama dengan Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) bagi memperkukuh industri fesyen, tekstil dan batik tempatan, selain melaksanakan ‘Local to Global Retail Programme’ (Program Runcit Lokal ke Global’) untuk membantu produk Malaysia menembusi rangkaian peruncitan antarabangsa,” katanya.

Armizan berkata kerajaan kini mengambil pendekatan dua serampang dalam menangani isu kos sara hidup, iaitu menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan serta meningkatkan pendapatan rakyat menerusi pengukuhan aktiviti perniagaan dan keusahawanan.

“Apabila produk tempatan mendapat sokongan rakyat, dibeli pelancong dan berjaya memasuki pasaran global, manfaatnya bukan sahaja kepada ekonomi negara, malah meningkatkan pendapatan usahawan dan rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Armizan berkata KPDN juga berhasrat memperkukuh kerjasama strategik dengan Pasar Seni bagi menjadikan festival berkenaan sebagai acara tahunan utama dalam mempromosikan produk tempatan, memperluaskan peluang perniagaan serta menarik lebih ramai pelabur, pembeli dan pelancong ke Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top