am@hmetro.com.my
Taiping: Wanita yang dilaporkan hilang selepas keluar rumah untuk menghadiri temu duga kerja pada 16 Jun lalu akhirnya menghubungi polis hari ini bagi memaklumkan dirinya berada dalam keadaan selamat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Mohd Ariffridzuan Ezahar berkata, wanita berusia 41 tahun itu memaklumkan dia sihat dan hanya memerlukan sedikit masa untuk menenangkan diri.
“Polis berjaya bercakap dengan Nor Afiza Zainuddin yang memaklumkan keadaannya sihat dan memerlukan sedikit masa untuk bertenang sebelum kembali ke Taiping untuk bertemu keluarga serta memberi keterangan kepada polis.
“Bagaimanapun, dia tidak mendedahkan lokasi sebenar tempat dia berada ketika ini,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, kakak Nor Afiza yang enggan dikenali berkata, keluarga hanya dimaklumkan mengenai perkembangan itu selepas adiknya menghubungi pihak polis.
“Dia cuma beritahu dia sihat dan perlukan masa untuk bertenang. Setakat ini dia tidak menghubungi ahli keluarga.
“Saya juga tidak tahu sama ada dia akan pulang ke Taiping dalam masa terdekat kerana dia hanya berhubung dengan pihak polis,” katanya.
Sementara itu, adik mangsa, Ahmad Zulhilmi, 34, berkata, seluruh keluarga berharap Nor Afiza segera pulang.
Katanya, dua anak Nor Afiza sering bertanyakan mengenai ibu mereka, namun keluarga terpaksa mengalihkan perhatian bagi menenangkan mereka.
Terdahulu, media melaporkan Nor Afiza dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Taiping pada 16 Jun lalu untuk menghadiri sesi temu duga di sebuah hotel di Kuala Kangsar sebelum gagal dikesan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




