Houston: Penyerang Monaco, Takumi Minamino percaya Jepun mampu menewaskan Brazil pada pusingan 32 terakhir Piala Dunia 2026 sekiranya mereka terus mengekalkan mentaliti pasukan bukan pilihan atau ‘underdog’.
Kedua-dua pasukan akan berentap pada Selasa ini di Houston, dengan Brazil yang juga juara dunia lima kali dijangka menjadi pilihan untuk mara ke pusingan seterusnya.
Namun, Jepun yang dianggap sesetengah pihak sebagai pasukan yang sukar melangkah jauh dalam kejohanan di Amerika Utara itu pernah mengejutkan skuad kendalian Carlo Ancelotti 3-2 dalam aksi persahabatan di laman sendiri pada Oktober lalu.
Minamino yang menyertai skuad Jepun di Piala Dunia kali ini dalam kapasiti bukan pemain selepas mengalami kecederaan serius pada lutut, yakin rakan sepasukannya mampu untuk mencipta kejutan sekali lagi.
“Jika kami bermain dengan mentaliti pasukan bukan pilihan seperti yang sentiasa kami lakukan, saya percaya kami mempunyai kemampuan untuk mencipta sesuatu dalam perlawanan kalah mati seperti ini,” kata pemain berusia 31 tahun itu yang turut menjaringkan gol ketika Jepun menewaskan Brazil dalam perlawanan persahabatan lapan bulan lalu.
Bercakap kepada wartawan di kem latihan Jepun, Minamino turut memaklumkan bahawa pemain sayap, Takefusa Kubo berpeluang kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan lutut.
Pemain Real Sociedad itu terpaksa dikeluarkan ketika Jepun seri 2-2 dengan Belanda dalam perlawanan pembukaan kempen Piala Dunia mereka.
“Semangatnya memang luar biasa, jadi dia tidak memerlukan galakan daripada saya,” kata Minamino, menurut agensi berita Kyodo News.
“Semua orang percaya dia akan kembali membantu pasukan pada pusingan kalah mati dan dia sedang menjalani proses pemulihan dengan keyakinan yang sama.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




