WASHINGTON: Eropah berdepan ancaman keselamatan paling serius sejak Perang Dingin, kata Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell, sambil menyuarakan harapan penyelesaian diplomatik bagi menangani konflik Russia dan Ukraine.
Bercakap pada sidang media bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, Borrell berkata mereka berdua berkongsi kebimbangan serius berhubung situasi di sempadan negara bekas Soviet itu.
“Berdasarkan pemahaman saya, kita berada dalam detik keselamatan paling berbahaya di Eropah selepas tamatnya Perang Dingin.
“Tiada sesiapa pun yang bertindak menempatkan 140,000 tentera lengkap bersenjata di sempadan sesebuah negara tanpa menggambarkan ancaman serius.
“140,000 tentera yang berkumpul di sempadan bukan untuk pergi minum teh,” katanya.
Pegawai AS mendakwa Moscow menghimpunkan 110,000 tentera berhampiran sempadan Ukraine, sekali gus berada di landasan untuk mencapai kira-kira 150,000 tentera, memadai untuk melakukan pencerobohan berskala penuh dalam beberapa minggu akan datang.
Blinken menafikan pendirian Washington bahawa situasi itu mencemaskan dengan berkata “Ini bukan kecemasan. Ini adalah fakta”.
AS dan EU, kedua-duanya mengancam untuk membalas dengan mengenakan sekatan yang belum pernah berlaku sekiranya Presiden Russia, Vladimir Putin, meneruskan rancangannya untuk melakukan pencerobohan terhadap Ukraine.
Namun begitu, Blinken dan Borrell menegaskan diplomasi masih menjadi penyelesaian utuh untuk membawa kebuntuan kepada penyelesaian secara aman.
“Kami percaya jalan keluar diplomatik daripada krisis masih boleh dilakukan. Kami berharap yang terbaik tetapi kami bersedia untuk yang terburuk,” kata Borrell. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




