Paula dari pengganti jadi juara

Paula dari pengganti jadi juara

Valkenburg: Paula Blasi mencipta sensasi apabila merangkul kemenangan edisi ke-12 perlumbaan wanita Gold Race, sekali gus mengejutkan kelompok pilihan utama menerusi serangan solo sejauh 22 kilometer (km).

Lebih manis, pelumba UAE Team ADQ itu pada asalnya tidak tersenarai sebelum dipanggil pada saat akhir bagi menggantikan rakan sepasukan yang cedera.

“Saya sendiri tak percaya. Saya sebenarnya tidak dijadualkan berlumba,” katanya, masih terpinga-pinga selepas kemenangan terbesar dalam kariernya setakat ini.

Paula mula mencipta perbezaan di pendakian kedua terakhir Cauberg sebelum memecut meninggalkan peloton berbaki 22km.

Dia kemudian melebarkan jurang sehingga satu minit ketika berbaki 10km, cukup untuk mengawal perlumbaan hingga ke garisan penamat.

Dua bekas juara Tour de France, Kasia Niewiadoma dan Demi Vollering, gagal memberi reaksi pantas terhadap serangan berani itu dan terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan ketiga.

“Saya banyak kali tercicir dalam kelompok yang agak huru-hara, jadi saya pilih untuk menyerang. Ternyata keputusan itu berhasil,” kata Paula.

Bekas atlet triatlon dan pakar ujian masa itu kini dilihat antara prospek besar sukan berbasikal, selepas sebelum ini bergelar juara Eropah serta meraih gangsa Kejohanan Dunia Bawah 23 Tahun.

Kemenangan itu adalah yang kelima dalam karier profesionalnya, namun jelas paling berprestij.

Saingan klasik Ardennes akan diteruskan Rabu ini dengan perlumbaan La Fleche Wallonne, dengan Paula kini muncul antara nama yang perlu diberi perhatian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top