ISTANBUL – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bercakap dengan ketua tentera darat Pakistan, Jeneral Asim Munir serta perunding Iran minggu ini, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik media AS.
Panggilan dengan Munir dan pihak Iran itu dibuat semasa lawatan tiga hari ketua tentera darat Pakistan itu ke Teheran, bermula Rabu, lapor portal Axios, memetik pegawai AS yang tidak dinamakan.
“Ketua tentera darat Pakistan Asim Munir mengadakan rundingan pengantaraan antara AS dan Iran di Teheran minggu ini, dan pegawai AS berkata Trump bercakap melalui telefon sekurang-kurangnya sekali dengan Munir dan pihak Iran,” menurut laporan itu.
Munir bertemu kedua-dua pemimpin awam dan tentera di Iran, termasuk Speaker Parlimen Mohammad Bagher Qalibaf, Menteri Luar Abbas Araghchi, dan Mejar Jen. Ali Abdollahi, komander ibu pejabat Khatam ul Anbiya.
Laporan mengenai panggilan itu menyusul ketika Trump mengadakan mesyuarat Bilik Situasi Rumah Putih pada Sabtu bagi membincangkan keadaan selepas penutupan semula Selat Hormuz, dengan gencatan senjata rapuh selama dua minggu dijadualkan tamat pada 22 April.
Semasa lawatan Munir ke Teheran, Iran mengisytiharkan laluan air utama itu dibuka, namun menutupnya semula pada Sabtu selepas Trump berkata, sekatan AS terhadap pelabuhan Iran akan diteruskan.
Pakistan menjadi tuan rumah kepada penglibatan peringkat tertinggi antara AS dan Iran pada 11 dan 12 April, yang pertama sejak 1979, namun rundingan tersebut tidak membuahkan hasil.
Pusingan kedua rundingan berkemungkinan akan melibatkan pasukan peringkat teknikal mereka.
Sumber kerajaan Pakistan sebelum ini berkata bahawa pasukan teknikal dijangka bertemu di Islamabad “kemungkinan besar pada Isnin” untuk memuktamadkan perjanjian antara kedua-dua belah pihak. – Bernama-Anadolu



