Jangan berpaling tadah jika tak jadi calon

Jangan berpaling tadah jika tak jadi calon

bhnews@bh.com.my

JOHOR BAHRU: Jangan berpaling tadah sekiranya nama tidak tersenarai sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Johor, Mohd Solihan Badri, berkata tindakan seperti itu akan memberikan kesan jangka panjang terhadap keperibadian pemimpin berkenaan.

“PN menasihatkan ahli-ahli dan barisan kepemimpinan semua peringkat parti komponen supaya jangan berpaling tadah semata-mata kerana hal remeh seperti tidak puas hati.

“Suatu yang merugikan jika seseorang ahli keluar parti kerana hal remeh, sedangkan mereka sebenarnya bersekongkol.

“Tanpa disedari, menggadai maruah untuk menjadi sebahagian daripada pihak yang merosakkan sejarah politik negara serta memalukan Malaysia di seluruh dunia,” katanya, di sini hari ini.

Mohd Solihan yang juga Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor berkata, jangan ada ahli dan pemimpin parti PN terpedaya dengan apa juga bentuk imbuhan yang ditawarkan oleh kumpulan pecah integriti.

“Musuh sebenar yang dihadapi PN bukan sahaja parti lawan, bahkan sifat buruk yang sebati dalam diri pemimpin UMNO yang ternyata merosakkan sistem masyarakat, tadbir urus serta maruah negara.

“Setiap ahli PN pejuang yang mahu prinsip dan disiplin perjuangan ditunjukkan Pengerusi Perikatan Nasional itu diteruskan, bagi memastikan pembaharuan landskap politik serta pentadbiran negara lebih baik menjadi realiti demi kesejahteraan rakyat mahupun kemajuan negara,” katanya.

Beliau berkata, jangan mudah terpengaruh dakyah yang tersebar konon ada ahli BERSATU keluar parti kerana itu permainan parti lawan untuk mengelirukan ahli PN.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top