BUTTERWORTH: Pemandu bas kilang dan pemandu treler cedera parah selepas kedua-dua kenderaan bertembung dalam nahas berhampiran sebuah kilang di Jalan Perusahaan Perai di sini, malam tadi.
Kemalangan pada jam 7.20 malam itu turut menyebabkan 15 pekerja kilang lelaki warga asing yang dalam perjalanan pulang cedera ringan.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, Mohd Fakharurazi Md Rejab, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 7.21 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai dikerah ke lokasi kejadian.
“Apabila tiba di tempat kejadian, kami mendapati kemalangan membabitkan sebuah bas yang membawa pekerja kilang bertembung dengan lori treler dan menyebabkan bas terbalik manakala dua lelaki yang juga pemandu kedua-dua kenderaan cedera parah.
“Pemandu bas dan lori treler yang tersepit di bahagian tempat duduk hadapan berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dengan menggunakan peralatan menyelamat sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata semua pekerja kilang yang cedera dihantar ke hospital sama untuk pemeriksaan kesihatan. – BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




