bhnews@bh.com.my
Tanjong Karang: Dua wanita maut manakala seorang lelaki cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Bernam, di sini, petang tadi.
Dalam nahas kira-kira jam 5 petang itu, mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Norhidayah Marsom, 20, dan Sha Sabrina Marsom, 27.
Sementara lelaki yang cedera pula dikenali sebagai Tan Sum Tian, 55.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata kemalangan membabitkan kereta Toyota Camry dan Mercedes.
Beliau berkata, sepasukan enam pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 5.02 petang.
“Sebaik tiba, pemandu kereta Mercedes didapati sudah dibawa ke hospital oleh ambulans manakala dua lagi mangsa yang menaiki kereta Toyota Camry pula meninggal dunia.
“Seorang daripadanya (Sha Sabrina) maut di lokasi manakala seorang lagi (Norhidayah) meninggal dunia di Hospital Tanjong Karang,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Norazam berkata, semua mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd



