am@hmetro.com.my
Tapah: Hasrat seorang lelaki untuk menziarahi datuknya yang meninggal dunia tidak kesampaian apabila dia maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai di Batu 22, Jalan Tapah-Cameron Highlands, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 8.44 malam itu, mangsa, Zamri Hashim, 44, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit, manakala isteri dan empat anaknya cedera.
Sepupu mangsa, Salabiah Saharudin, 59, berkata Zamri sebelum itu dalam perjalanan ke Cameron Highlands untuk menziarahi datuknya walaupun jenazah sudah dikebumikan.
“Pakcik dia ada beritahu, dia nak pergi ziarah datuk yang meninggal dunia di Cameron Highlands.
“Walaupun jenazah sudah dikebumikan, dia tetap berkeras mahu pergi,” katanya ketika ditemui di Hospital Tapah.
Salabiah berkata, kali terakhir mereka bertemu adalah ketika kenduri kahwin saudara-mara, di mana mangsa memaklumkan kurang sihat selain mempunyai masalah jantung.
“Dia baik orangnya, kami sembang seperti biasa dan bertanya khabar. Masa itu dia kata sihat buat masa sekarang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tanah Rata, Cameron Highlands.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian berhampiran selekoh, SUV dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan lalu terjatuh ke dalam gaung dan masuk ke sungai.
“Tiada perlanggaran berlaku dengan kenderaan lain.
Ketika kejadian, terdapat sebuah lori dari arah bertentangan namun tidak terbabit dalam kemalangan itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan, manakala semua ahli keluarga yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jenazah mangsa dijangka dikebumikan di Masjid Al-Hidayah, Asam Kumbang, Taiping selepas solat Jumaat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




