COVID-19: AS gesa rakyatnya tidak ke Korea Selatan, Belarus

COVID-19: AS gesa rakyatnya tidak ke Korea Selatan, Belarus

WASHINGTON: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) menasihatkan rakyatnya tidak berkunjung ke enam negara, termasuk Korea Selatan, Azerbaijan dan Belarus berikutan penularan COVID-19.

Turut terkandung dalam senarai ‘Tahap Empat: Sangat Tinggi” oleh agensi berkenaan ialah beberapa wilayah seperti Comoros, Polinesia Perancis, Saint Pierre dan Miquelon.

Jabatan Negara AS juga meningkatkan penarafan nasihat perjalanan ke Korea Selatan, Indonesia dan Azerbaijan ke ‘Tahap 4: Jangan berkunjung’.

Secara keseluruhan, CDC menyenaraikan 140 negara dan wilayah di peringkat amaran tertinggi, termasuk Kanada, seluruh Eropah dan hampir kebanyakan negara di Amerika Latin, berikutan tahap penularan COVID-19 susulan varian Omicron yang meskipun menunjukkan tanda penyusutan kes, tetapi masih tinggi di kebanyakan negara.

CDC menyenaraikan 50 negara atau wilayah sebagai ‘Tahap 3: Tinggi’, yang memperuntukkan nasihat dalam kalangan rakyat AS tanpa suntikan vaksin untuk tidak berkunjung ke tempat berkenaan sekiranya tiada keperluan terdesak.

Hanya 11 destinasi, termasuk China, New Zealand, Pakistan, Taiwan dan Hong Kong yang tersenarai dalam ‘Tahap 1: Rendah’ atau ‘Tahap 2: Sederhana’.

Sebanyak 40 destinasi lain yang disenaraikan CDC sebagai tidak diketahui pula memperuntukkan nasihat untuk tidak berkunjung ke tempat terbabit, melainkan sudah menerima suntikan vaksin.

Segelintir penggiat industri menaruh kepercayaan bahawa syor pergerakan CDC adalah antara faktor yang mempengaruhi kadar permintaan perkhidmatan penerbangan antarabangsa.

Awal bulan ini, kebanyakan syarikat penerbangan, perniagaan dan agensi pelancongan menggesa Rumah Putih untuk menamatkan keperluan melakukan saringan COVID-19 sebelum berlepas ke AS, bagi penumpang antarabangsa yang sudah menerima suntikan vaksin masing-masing. – REUTERS

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top