am@hmetro.com.my
Tampin: Ladang ternakan ayam berhampiran Kampung Ulu Air Kuning Selatan di sini, yang dikatakan menjadi punca masalah lalat di rumah penduduk didapati melanggar syarat operasi.
EXCO Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, pemeriksaan sudah dijalankan dan kerajaan negeri akan menyelesaikan isu itu secara menyeluruh.
“Penduduk melaporkan lalat menyerang dalam jumlah besar setiap beberapa minggu, berlarutan selama dua ke tiga minggu sebelum reda sebentar dan kembali semula.
“Keadaan ini menjejaskan kebersihan, kesihatan awam serta kualiti hidup masyarakat setempat. Penduduk mendakwa punca utama ialah ladang ternakan ayam berhampiran.
“Penduduk dikatakan mencuba pelbagai cara seperti racun serangga, pelekat lalat dan ubat nyamuk, namun kesannya hanya sementara.
“Mereka berharap pihak berkuasa mengambil langkah lebih menyeluruh supaya masalah ini tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, pemeriksaan mengejut bersama agensi kerajaan mendapati ladang berkenaan melakukan pelanggaran syarat operasi dan dikenakan tiga kompaun.
“Manakala dakwaan bahawa ladang babi lama menjadi punca adalah tidak benar kerana ladang sudah ditutup sejak awal pandemik Covid-19,” katanya.
Veerapan berkata, dia sendiri mengarahkan Ahli Majlis di Majlis Daerah Tampin (MDT) untuk membawa isu ini ke mesyuarat rasmi bagi mencari penyelesaian menyeluruh.
“Jika masalah berlarutan, isu ini akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk tindakan lebih tegas.
“Kerajaan negeri menekankan bahawa kesihatan awam adalah keutamaan, dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan.
“Kerajaan negeri komited untuk memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara. Semua pihak termasuk pengusaha ladang diminta bekerjasama penuh dalam menjaga kebersihan dan kesihatan awam.
Media sebelum ini melaporkan, penduduk kampung berkenaan sudah tidak tahan dengan masalah lalat yang menghantui mereka sejak tahun lalu.
Lalat yang terlampau banyak masuk ke dalam rumah di setiap ruang menyebabkan penduduk tidak selesa dan rutin harian terganggu, malah dibimbangi menyebabkan wabak penyakit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




