sukan@hmetro.com.my
Baca juga: Yakin Madani platform rakyat lihat tindakan, program kerajaan
Kuala Lumpur: Daripada gelanggang Grand Final Liga Takraw Nasional Mekdi 2026, mungkin bakal lahir wira baharu yang menggalas cabaran negara di pentas antarabangsa apabila barisan pelapis muda mula memperlihatkan potensi luar biasa dalam sukan warisan itu.
Keyakinan itu disuarakan pelakon merangkap duta McDonald’s, Zul Ariffin yang teruja melihat sambutan hangat terhadap kejohanan berkenaan, sekali gus menyifatkan platform seperti itu sebagai medan terbaik mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Baginya, dia teruja melihat penyertaan generasi muda dalam kejohanan itu, apatah lagi apabila mendapat sokongan ibu bapa serta kehadiran peminat yang memeriahkan suasana pertandingan.
“Alhamdulillah, ramai yang datang memberikan sokongan. Saya juga teruja kerana kali ini dapat melihat ramai pemain muda yang menjadi pelapis dan generasi baharu.
“Saya harap program seperti ini dapat diteruskan dengan lebih kerap, bukan sahaja dalam sepak takraw, malah membabitkan pelbagai sukan lain,” katanya.
Selain itu, Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31 itu melihat penganjuran kejohanan seumpama itu penting kerana memberi peluang kepada pemain muda dari pelbagai kawasan untuk mengetengahkan kemampuan masing-masing, selain mengenal pasti laluan untuk mengembangkan bakat mereka.
Katanya, sokongan pihak swasta dan media seperti McDonald’s serta Harian Metro juga memainkan peranan penting dalam memastikan lebih banyak platform pertandingan dapat disediakan buat generasi muda.
“Apabila ada pertandingan seperti ini, barulah kita dapat melihat bakat baharu dari merata tempat.
“Mana tahu, daripada kelompok pemain yang bertanding sekarang, akan ada muka baharu yang mewakili negara suatu hari nanti.
“Generasi muda perlu diberi peluang untuk bersaing dan menerusi sukan, mereka dapat mengenal pasti potensi serta hala tuju masing-masing,” katanya.
Mengulas pengalaman peribadi, Zul Ariffin mengakui pernah bermain sepak takraw ketika di bangku sekolah rendah di Taiping, Perak.
Malah, dia berseloroh kemahirannya semakin merosot selepas melangkah ke sekolah menengah, selain mengakui kagum melihat aksi pemain muda yang mampu melakukan libasan akrobatik di gelanggang.
© New Straits Times Press (M) Bhd