Kota Bharu: Dua remaja masing-masing didenda RM5,000 dan RM4,300 di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menduga kelajuan secara bahaya sambil melakukan aksi ‘wheely’ lebih daripada sekali, 19 November lalu.
Baca juga: Program Ceria Kasih YKN ceriakan sesi persekolahan 2027
Kedua-dua tertuduh yang berusia 14 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Nazri Omran.
Mengikut pertuduhan pertama, masing-masing didakwa menunggang motosikal dengan mengambil bahagian dalam menduga kelajuan secara bahaya sambil melakukan aksi ‘wheely’ (mengangkat tayar hadapan sambil menunggang motosikal) lebih sekali yang mana perbuatan itu berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain kerana ketika itu terdapat kenderaan lain menggunakan jalan berkenaan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Perindustrian Padang Tembak, di sini, jam 6.50 petang, 19 November lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 42A (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama yang memperuntukkan denda tidak kurang RM2,000 dan tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa menunggang motosikal di jalan raya sedangkan masih di bawah umur iaitu kurang dari 16 tahun pada masa, lokasi dan tarikh sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39(5) akta sama yang memperuntukkan denda melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.
Seorang daripada mereka turut didakwa menggunakan motosikal di atas jalan raya dengan gagal mempamerkan nombor pendaftaran depan.
Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 14(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda minimum RM300 dan tidak lebih RM3,000.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Afifi Jannati Asshaari manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Afifi Jannati mencadangkan denda yang setimpal untuk memberi pengajaran manakala kedua-dua tertuduh yang hadir bersama ibu bapa masing-masing memohon hukuman ringan.
Mahkamah memutuskan denda masing-masing sebanyak RM5,000 dan RM4,300 kepada setiap tertuduh.
© New Straits Times Press (M) Bhd