Bolívar, Ecuador: Dua sahabat karib dari Amerika Syarikat (AS), Adam Wininger dan Joshua Host membawa minat mereka terhadap permainan catur ke tahap luar biasa apabila berjaya memecahkan rekod dunia bersama-sama dengan bermain permainan itu di puncak Gunung Chimborazo.
Baca juga: Shuhaily kembali ke Bukit Aman
Selepas mendaki Gunung Chimborazo di sini pada 31 Mac lalu, mereka menikmati pemandangan indah dari ketinggian 6,277 meter (20,593 kaki) sebelum mengeluarkan papan catur untuk mencatat rekod permainan berpapan pada altitud tertinggi, lapor Rekod Dunia Guinness (GWR).
Adam, 32, dan Joshua, 44, yang masing-masing mengasaskan syarikat sendiri sejak sekian lama menyimpan impian untuk mencipta rekod dunia bersama, didorong minat terhadap aktiviti mendaki gunung, cabaran ekstrem dan permainan catur.
“Ia adalah permainan kegemaran kami dan ada sesuatu yang begitu mengagumkan apabila dapat bermain catur di puncak gunung,” kata Adam.
Bagi mempersiapkan diri untuk percubaan rekod itu, mereka bermain catur bersama di pelbagai lokasi selain menyertai beberapa ekspedisi pendakian.
Mereka pernah cuba mendaki Chimborazo beberapa bulan sebelum percubaan rasmi itu, namun keadaan cuaca tidak mengizinkan mereka sampai ke puncak sekali gus kejayaan menamatkan pendakian kali ini lebih bermakna di gunung yang terkenal sebagai puncak yang paling jauh dari pusat Bumi.
Dalam perlawanan catur itu, Adam muncul pemenang, namun dia mengakui mempunyai sedikit kelebihan berbanding rakannya selepas pendakian ke altitud tinggi berikutan latar belakangnya sebagai atlet ultramaraton terlatih.
“Kebanyakan peserta ekspedisi tidak berjaya sampai ke puncak dan terpaksa berpatah balik atas pelbagai sebab. Kami berdepan keadaan cuaca ekstrem, merentasi beberapa rekahan ais berbahaya dan turut mengalami kesukaran sepanjang pendakian demi mencapai matlamat utama ini,” katanya.
Namun, segala kesukaran itu berbaloi apabila mereka disajikan pemandangan matahari terbit yang indah dengan bayang-bayang berbentuk segi tiga daripada gunung berkenaan kelihatan ketika mereka menghampiri puncak.
Kejayaan itu membolehkan mereka mengatasi rekod terdahulu dengan perbezaan 60.96 meter (200 kaki) yang dicatatkan Tim Maw dan Neil Laughton dari United Kingdom (UK) pada ketinggian 6,216 meter (20,393 kaki) selepas mendaki Gunung Putha Hiunchuli, Nepal pada 17 September 2024.
Adam berkata, mereka bertekad mempertahankan gelaran rekod berkenaan dan tidak menolak kemungkinan mencuba memecahkan rekod itu sekali lagi pada masa depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd