Intipati Berita
- Tiga anak Allahyarham Kapten AA – Hud, Luth dan Isa – kini dalam perjalanan ke Oman untuk pertemuan terakhir dengan bapa mereka.
- Jenazah akan disemadikan di Muscat; urusan dokumentasi sedang diuruskan pihak berkuasa Oman.
- Solat jenazah ghaib akan diadakan di Masjid Putrajaya sebaik tarikh pengebumian dipastikan.
Tiga anak pengacara dan personaliti media sosial, Allahyarham Muhammad Akhmal Asyraf Mohd atau lebih dikenali sebagai Kapten AA, kini dalam perjalanan ke Oman bagi memberi penghormatan terakhir kepada bapa mereka.
Baca juga: Telefon Tiba-Tiba Berbunyi? Jangan Panik, Ujian MySiren Seluruh Negara Bermula Hari Ini
Perkembangan itu dikongsikan rakan rapat Allahyarham yang juga pengasas RARETV, Saiful Nang menerusi hantaran di Threads.
“Alhamdulillah anak-anak Akhmal Asyraf dan Jiha sudah dalam perjalanan untuk pertemuan terakhir dengan ayahnya. Hud, Luth dan Isa berangkat dengan iringan sahabat di Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP).”
Saiful turut meluahkan harapan agar persahabatan dirinya bersama Allahyarham diteruskan oleh anak-anak mereka.
“Jika saya dan AA satu persahabatan, anak AA juga sahabat kepada anak saya. Harapnya mereka bersahabat macam bapa mereka bersahabat. Kami dan ayah menanti di Oman. Allahyarham sebenarnya salah seorang dari 20 orang pendiri RPWP,”
Semalam, tiga beradik itu menerima pasport masing-masing di UTC Shah Alam, seperti dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bagi membolehkan mereka terbang ke Oman. Ibu bapa Allahyarham juga dilaporkan sudah berlepas ke Muscat.
Akhmal Asyraf disemadikan di Muscat
Menurut Saiful, urusan dokumentasi pengebumian sedang diuruskan pihak berkuasa Oman di Kedutaan Malaysia seawal jam 6 pagi bagi mempercepatkan proses.
“Kami harapkan ada kepastian mengenai urusan persemadian selewat-lewatnya Isnin. Sejurus ada kepastian masa, satu sesi solat jenazah ghaib di Malaysia akan dijalankan di Masjid Putrajaya pada ketetapan waktu dan tarikh yang akan dimaklumkan,”
Meninggal ketika penggambaran kembara wahyu

Akhmal Asyraf, 32, meninggal dunia pada jam 6.58 petang waktu Oman (10.58 malam waktu Malaysia) pada 27 November lalu, selepas berada dalam keadaan kritikal akibat jangkitan paru-paru.
Allahyarham ketika itu berada di Oman bersama pasukan produksi bagi penggambaran program Kembara Wahyu 2027 yang dijadualkan selama 14 hari, dan dilaporkan sudah memasuki hari keenam.
Beliau pada mulanya dirawat di Hospital Nizwa sebelum dipindahkan ke Hospital Badr Al Samaa Royal di Muscat, di mana beliau ditidurkan dan menjalani prosedur intubasi selepas mengalami kesukaran bernafas.
Al-Fatihah. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman, serta keluarga yang ditinggalkan diberi kekuatan.
The post Tiga Anak Kapten Akhmal Asyraf Dalam Perjalanan Ke Oman Untuk Beri Penghormatan Terakhir appeared first on Oh! Media.