Paris: Perancis, Britain dan enam negara lain pada Sabtu mengeluarkan kenyataan bersama menggesa pilihan raya perundangan Palestin yang ditangguhkan diadakan dalam tempoh tiga bulan pertama 2027.
Baca juga: Malaysia perlu waspada kegiatan Mossad Israel di negara jiran – Anwar
Undian itu adalah penting bagi pembaharuan demokrasi di wilayah Palestin dan “tidak dapat dipisahkan daripada usaha mempertahankan penyelesaian dua negara yang kekal menjadi komitmen teguh kami”, menurut kenyataan bersama itu.
Enam negara lain yang menyokong kenyataan berkenaan ialah Kanada, Australia, Belgium, Luxembourg, Norway dan Poland.
Bulan lalu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, menangguhkan pilihan raya perundangan kepada September tahun depan.
Pilihan raya perundangan pertama sejak 2006 itu, yang sekian lama disuarakan masyarakat antarabangsa, sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 28 November, manakala pilihan raya presiden dijangka diadakan pada awal 2027.
“Dua puluh tahun selepas pilihan raya kebangsaan terakhir di Palestin,” rakyat Palestin masih dinafikan “hak untuk menyuarakan pendirian secara demokratik menerusi peti undi”, menurut kenyataan lapan negara itu.
“Pelaksanaan pilihan raya yang bebas dan telus adalah penting bagi mengekalkan prinsip demokrasi yang mesti terus menjadi teras institusi Palestin.”
Menteri-menteri berkenaan turut memberi amaran bahawa sokongan berterusan mereka terhadap Pihak Berkuasa Palestin (PA) perlu seiring dengan komitmen terhadap reformasi dan pembaharuan demokrasi.
Pejabat Abbas pada Oktober lalu menyalahkan penangguhan itu kepada “halangan yang dikenakan menerusi tindakan Israel… selain keperluan mewujudkan keadaan politik, keselamatan dan di lapangan yang sesuai.”
Israel, yang mengadakan pilihan raya sendiri pada akhir bulan lalu, menolak sebarang tanggungjawab terhadap penangguhan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd