Intipati Berita
- Ujian Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) dijalankan serentak di seluruh negara antara 10.10 hingga 10.30 pagi tadi.
- Orang ramai menerima notifikasi kecemasan terus ke telefon bimbit – ia hanya ujian, tiada kecemasan sebenar.
- Lee Lam Thye gesa liputan menyeluruh termasuk luar bandar, serta fokus kepada warga emas, OKU dan golongan rentan.
Jangan panik! Jika telefon bimbit anda tiba-tiba berbunyi dan memaparkan notifikasi kecemasan pagi tadi, ia sebenarnya sebahagian daripada ujian Sistem Amaran Awal Nasional atau MySiren.
Baca juga: ‘Hati Nana belum terbuka’
Ujian itu dilaksanakan secara serentak di seluruh negara bermula jam 10.10 hingga 10.30 pagi bagi menguji keupayaan sistem menyalurkan notifikasi kecemasan secara pantas kepada telefon bimbit pengguna.
Menurut laporan Sinar Harian, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil turut hadir meninjau sesi ujian di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Kampung Pulau Meranti.
Apa Itu MySiren?
MySiren ialah Sistem Amaran Awal (EWS) Malaysia yang dibangunkan untuk memberi amaran kepada orang ramai ketika berlaku kecemasan seperti banjir dan tanah runtuh, supaya mereka dapat mengambil tindakan segera bagi melindungi nyawa dan harta benda.
- Tarikh ujian: Hari ini, 10.10 – 10.30 pagi
- Kaedah: Notifikasi kecemasan terus ke telefon bimbit
- Tujuan: Menilai keberkesanan sistem dan mengenal pasti kelemahan teknikal
Di media sosial, ada juga netizen yang tertanya-tanya mengapa mereka tidak menerima sebarang notifikasi ketika ujian dijalankan – antara perkara yang dijangka dinilai melalui latihan ini.
“Penentu antara hidup dan mati” – Tan Sri Lee Thye

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye menyifatkan ujian itu sebagai langkah penting ke arah memperkukuh kesiapsiagaan bencana negara.
“Sistem amaran awal yang berkesan memberi orang ramai masa yang amat berharga untuk berpindah, mencari perlindungan dan mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi diri serta keluarga mereka,”
Menurutnya, Malaysia boleh mencontohi negara seperti Jepun yang melabur besar dalam teknologi amaran awal, pendidikan awam dan prosedur pemindahan, namun menegaskan teknologi semata-mata tidak memadai tanpa kesedaran orang ramai.
Beliau turut menggesa:
- Liputan MySiren yang boleh dipercayai di seluruh negara, termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman.
- Tumpuan khusus kepada warga emas, kanak-kanak, OKU dan golongan rentan.
- Penyelarasan lebih baik antara NADMA, MCMC, polis, bomba, PBT dan syarikat telekomunikasi.
- Saluran komunikasi alternatif sekiranya rangkaian mudah alih terganggu ketika bencana besar.
“Kita tidak seharusnya menunggu bencana berlaku untuk mengajar kita kepentingan bersiap sedia. Masa untuk bersedia adalah sebelum bencana melanda,”
Anda terima notifikasi MySiren tadi? Kongsikan pengalaman anda di ruangan komen.
The post Telefon Tiba-Tiba Berbunyi? Jangan Panik, Ujian MySiren Seluruh Negara Bermula Hari Ini appeared first on Oh! Media.