LATEST

Ab Ghani sedia lepaskan kerusi MFL

Ab Ghani sedia lepaskan kerusi MFL

sukan@hmetro.com.my

Baca juga: DAP mahu kekalkan Kerajaan Pulau Pinang untuk penggal kelima

Kuala Lumpur: ‘Nasib’ dan kedudukan Datuk Ab Ghani Hassan sebagai Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kini bergantung sepenuhnya kepada keputusan Ahli Lembaga Pengarah badan pengendali liga berkenaan.

Biarpun sudah menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai presiden namun Ab Ghani menegaskan beliau bersikap terbuka dan sedia melepaskan kerusi nombor satu MFL itu pada bila-bila masa sahaja sebaik pengganti baharu dilantik.

Menurutnya, beliau tidak mempunyai masalah untuk berundur bagi memberi laluan kepada individu lain menerajui badan pentadbir Liga Malaysia (Liga M) itu namun perlu menghormati permintaan barisan kepimpinan semasa.

“Itu tunggu Lembaga Pengarah (MFL). Saya menunggu, bila-bila masa sahaja saya bersedia (lepaskan jawatan Presiden MFL),” kata Ghani ketika ditanya mengenai perkembangan terkini statusnya bersama badan berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai spekulasi individu yang bakal mengisi kekosongan kerusi panas itu, Ab Ghani mengakui beliau tidak mempunyai sebarang maklumat dan menyerahkan sepenuhnya proses pemilihan kepada BOD MFL.

“Saya tidak tahu (mengenai calon). Terpulang kepada ahli lembaga pengarah untuk memilih calon pengganti, namun buat masa ini mereka meminta saya bertahan sementara,” katanya.

Terdahulu, Ab Ghani Hassan dipilih sebagai Presiden FAM yang baharu selepas memperoleh kemenangan besar pada Kongres Luar Biasa FAM yang berlangsung, September lalu.

Ab Ghani meraih 20 undi berbanding hanya lima undi yang diperoleh pencabarnya, Datuk Seri Shahril Mokhtar dalam pemilihan yang menyaksikan persaingan dua penjuru bagi jawatan tertinggi badan induk bola sepak negara itu.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Ab Ghani yang mempunyai latar belakang sebagai bekas pemain sebelum bergelumang dalam pentadbiran bola sepak, kini berada di kerusi nombor satu FAM bagi baki penggal 2025-2029.

Kemenangan itu turut menyaksikan Ab Ghani mencipta sejarah sebagai bekas pemain pertama yang bergelar Presiden FAM dan menjadi individu kesembilan menduduki kerusi nombor satu badan induk bola sepak negara.

Dengan pelantikan itu, Ab Ghani kini berdepan tanggungjawab baharu untuk menerajui FAM bersama barisan Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) yang dipilih, termasuk usaha melakukan perubahan dan pembaharuan dalam tempoh baki dua tahun setengah penggal berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news