WASHINGTON: Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, dijadual berdepan soal siasat Kongres Amerika Syarikat (AS) pada Selasa susulan pelantikan semulanya ketika syarikat itu diselubungi skandal hubungan sulit dan dakwaan pengintipan membabitkan China.
Baca juga: Tips Road Trip Hujung Tahun: Panduan Memandu Jauh
Kepulangan Huang, hanya 11 hari selepas meletak jawatan berikutan pendedahan beberapa hubungan sulit termasuk dengan seorang wanita yang disyaki perisik China, meningkatkan desakan daripada Republikan dan Demokrat untuk mendapatkan penjelasan serta memperketat kawalan eksport cip kecerdasan buatan (AI).
Huang dijadual menjawab soalan secara tertutup daripada tiga jawatankuasa Dewan Perwakilan yang diterajui Republikan, iaitu Hal Ehwal Luar, Perisikan dan jawatankuasa khas mengenai China.
“Siasatan dalaman ringkas lembaga Nvidia dan pelantikan semula Jensen Huang tidak menghapuskan ancaman keselamatan negara serta persoalan yang mesti dijawab,” kata pengerusi ketiga-tiga jawatankuasa dalam kenyataan bersama.
“Kami kekal komited mendapatkan jawapan mengenai penyeludupan besar-besaran produk Nvidia, penyelewengannya bagi tujuan ketenteraan China serta peranan pentingnya dalam memajukan keupayaan AI pesaing utama kami.”
Penasihat Undang-Undang Nvidia, Tim Teter, turut dijadual menjawab soalan jawatankuasa sama secara tertutup pada Rabu, manakala Huang akan menghadiri pendengaran awam Jawatankuasa Perbankan Senat pada Khamis.
Tumpuan utama ialah dakwaan cip AI termaju Nvidia diseleweng ke China melalui Megaspeed, sebuah syarikat berpangkalan di Singapura yang sebelum ini diterajui Alice Huang.
Perisikan AS mengesyaki Alice bekerja untuk Beijing. Laporan media turut mengenal pastinya sebagai antara wanita yang mempunyai hubungan sulit dengan Huang.
Bekas Pemangku Ketua Staf Rumah Putih ketika pentadbiran pertama Trump, Mick Mulvaney, berkata pendirian menentang China ialah antara segelintir perkara yang mendapat sokongan kedua-dua parti di Washington.
“Saya menjangkakan Demokrat akan memberikan tentangan keras. Saya ingin melihat sejauh mana Republikan akan melakukan perkara sama,” katanya kepada CNBC.
Ahli Kongres Republikan sudah mendesak siasatan menyeluruh, sekali gus memperlihatkan tentangan yang jarang berlaku terhadap Trump, yang pentadbirannya berusaha di belakang tabir untuk mengembalikan Huang ke jawatan berkenaan.
Trump pada Khamis menegaskan Huang bukan ancaman keselamatan dan menyifatkan campur tangan itu sebagai “sesuatu yang hebat” untuk dunia.
Lembaga Nvidia pula menyatakan ia menerima jaminan daripada pegawai kanan AS dan yakin pelantikan semula Huang tidak menimbulkan risiko keselamatan, walaupun siasatan bebas syarikat masih belum selesai.
Ahli Kongres Republikan yang bakal meninggalkan jawatan, Don Bacon, menerusi X berkata Nvidia sepatutnya meneruskan operasi tanpa Huang dan mengetepikan hasrat pentadbiran Trump untuk menyelamatkannya.
“Kongres perlu menyiasat sepenuhnya siapa yang meluluskan penjualan cip komputer berprestasi tinggi kepada China. Kita tidak boleh mengatakan mahu memenangi perlumbaan AI tetapi pada masa sama memberikan teknologi terbaik kita kepada China,” katanya.
Lebih banyak siasatan dijangka menyusul apabila Demokrat mengambil alih kawalan kedua-dua dewan Kongres pada Januari.
Pemimpin Demokrat di Senat, Chuck Schumer, menerusi X berkata wakil partinya akan menyiasat sebarang salah laku oleh pentadbiran Trump, Huang, eksekutif Nvidia lain dan pihak yang mengorbankan keselamatan negara demi keuntungan kewangan.
Pasaran saham yang masih terkesan akibat kejatuhan saham teknologi baru-baru ini juga dijangka mengikuti rapat pendengaran berkenaan.
“Kami terus menjangkakan turun naik yang ketara selepas ini,” kata Penganalisis Industri Teknologi, Dan Ives.
“Minggu depan, Jensen memikul beban seluruh sektor teknologi dan keyakinan terhadap Revolusi AI apabila beliau melangkah ke Washington, ketika ahli politik menanti sesi berkenaan dengan seluruh dunia memerhatikannya.”
Penampilan Huang turut menarik perhatian selepas beliau mengetepikan jaket kulit hitam yang menjadi identitinya dan memakai jaket kapas biru tua ketika memohon maaf kepada pekerja dalam pertemuan di ibu pejabat Nvidia di California.
Penampilan lebih sederhana itu ditafsirkan ramai pemerhati sebagai tanda kekesalan.
© New Straits Times Press (M) Bhd