GEORGE TOWN: Dana wakaf perlu diurus dan ditadbir dengan baik serta berkesan bagi memastikan sumber kewangan berkenaan dapat dimanfaatkan untuk pembangunan ummah termasuk membina institusi pendidikan dan pusat ilmu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurusan wakaf memerlukan perancangan teliti, ketelusan dan kebijaksanaan supaya dana yang dikumpulkan tidak terbiar atau gagal dimanfaatkan sepenuhnya.
Baca juga: Kemenangan titik permulaan kebangkitan TFC – Nafuzi
Menurut beliau, institusi wakaf dalam tradisi Islam sejak dahulu menjadi antara tonggak kekuatan ekonomi umat Islam termasuk membiayai pembinaan institusi pendidikan terkemuka seperti Universiti Al-Azhar.
”Ulama silam, pemimpin dan negarawan memikirkan masa depan. Walaupun ketika itu terdapat pelbagai kelemahan, pengurusan yang baik dan amanah membolehkan dana wakaf memberikan kesan besar kepada pembangunan ummah.
”Bayangkan bagaimana negeri yang ketika itu relatif lebih mundur dan miskin mampu membangunkan universiti agung dalam dunia Islam. Bukan kerana semua orang pintar atau ramai ulama dan sarjana, tetapi kerana pentadbirannya jelas serta diuruskan dengan baik,” katanya ketika berucap pada program Semarak Wakaf Perdana 2026 di sini hari ini.
Anwar berkata, kelemahan dari segi tadbir urus dan pengurusan dana boleh menyebabkan sumber kewangan yang besar tidak dapat dimanfaatkan terutama apabila tanggungjawab berkenaan diberikan kepada individu yang tidak mempunyai kemahiran serta kepakaran bersesuaian.
Katanya, aspek amanah dan tadbir urus tidak boleh dipandang ringan kerana kedua-duanya menjadi asas kepada keberkesanan pengurusan serta pengagihan dana wakaf.
”Letakkan orang yang tidak mempunyai kemahiran dan kepakaran, wang itu akan terperap di situ. Ataupun tidak ada keberanian, maka wang kita akan kekal di situ,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, isu kemiskinan dalam kalangan masyarakat Melayu di Pulau Pinang dipantau sendiri oleh beliau secara dekat dan memerlukan perhatian berterusan daripada kepimpinan negeri.
”Dari segi perumahan, dari segi projek, dari segi masalah orang Melayu, kemiskinan itu masih saya pantau sendiri. Saya kebetulan diamanahkan sebagai Menteri Kewangan.
”Saya selalu pesan kepada Dr. Muhammad (Timbalan Ketua Menteri) dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) supaya menjaga negeri serta memberi tumpuan kepada pembangunan negeri.
”Kita mengambil peranan khusus untuk menjaga masyarakat Melayu Pulau Pinang. Jangan lupa, inilah yang saya sampaikan,” katanya. – UTUSAN
The post Wakaf perlu diurus, ditadbir dengan baik bagi menjamin manfaat berterusan – PM appeared first on Utusan Malaysia.