LATEST
Social Media

Kecoh lumba jalan kaki! Taufiq Johari tuntut penjelasan penganjur, panel hakim -“Atlet, ibu bapa berhak tahu”

Kecoh lumba jalan kaki! Taufiq Johari tuntut penjelasan penganjur, panel hakim -“Atlet, ibu bapa berhak tahu”

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari meminta penganjur serta panel hakim kejohanan lumba jalan kaki 800 meter yang tular baru-baru ini supaya tampil memberikan penjelasan secara terbuka berhubung keputusan pertandingan tersebut.

Menerusi hantaran di Threads hari ini, Taufiq berkata, beliau memahami kekecewaan ibu bapa selepas melihat rakaman pertandingan melibatkan atlet cilik itu yang mencetuskan pertikaian dalam kalangan pengguna media sosial.

Baca juga: Hiburan ala konsert cetus kontroversi, UniKL akui khilaf! Mohon maaf selepas ditegur

“Saya dah tengok video lumba jalan kaki 800 meter di Junior Development Programme (JDP) Siri 3, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), 14 November lalu. Saya faham rasa terkilan ibu bapa.
“Saya mahu penganjur dan panel hakim memberi penjelasan terbuka kepada atlet dan ibu bapa. Atlet dan ibu bapa berhak untuk tahu bagaimana keputusan itu dibuat,” katanya.

Taufiq turut menjelaskan bahawa kejohanan berkenaan merupakan anjuran Persatuan Lumba Jalan Kaki Malaysia dengan kerjasama Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan.

Katanya, pertandingan itu bukan dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) mahupun Kementerian Pendidikan (KPM).

Dalam pada itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak Olahraga Malaysia dalam masa terdekat bagi memperkukuh aspek latihan serta meningkatkan kompetensi pegawai teknikal.

“Half Marathon Race Walk dipertandingkan di Sukan SEA 2027, dan pegawai kita mesti bersedia,” katanya.

Terdahulu, rakaman pertandingan lumba jalan kaki melibatkan atlet cilik mencetuskan rasa tidak puas hati orang ramai selepas seorang peserta didakwa tidak mematuhi teknik berjalan kaki yang ditetapkan, namun dikatakan muncul sebagai pemenang.

Video yang dimuat naik menerusi akaun Threads @olahragamalaysia itu meraih lebih 3.3 juta tontonan dan menerima lebih 3,500 komen.

Rata-rata netizen turut menggesa supaya keputusan pertandingan tersebut disemak semula bagi memastikan keadilan kepada semua atlet yang mengambil bahagian.

Berdasarkan peraturan asas lumba jalan kaki, atlet perlu memastikan tiada kehilangan sentuhan kaki dengan permukaan tanah yang dapat dilihat oleh mata kasar.

Selain itu, kaki yang melangkah ke hadapan perlu berada dalam keadaan lurus sejak mula menyentuh permukaan tanah sehingga mencapai kedudukan menegak.

Sumber: Threads taufiqjohari

More in Social Media

View all

Latest news