LATEST
National

Harga emas dijangka paras RM562.08 segram suku pertama 2027

Harga emas dijangka paras RM562.08 segram suku pertama 2027

KUALA LUMPUR: Harga emas dijangka meningkat secara berperingkat sepanjang tahun depan dengan diunjurkan mencecah AS$4,250 (RM17,482.50) seaun atau RM562.08 segram pada suku pertama 2027, menurut OCBC Group Research.

Baca juga: Semak Mule: Cara Semak Akaun Dan Nombor Penipu

Ia menjangkakan harga logam berharga itu meningkat kepada AS$4,300 (RM17,688.20) seaun atau RM568.69 segram pada suku kedua dan mencecah paras AS$4,400 (RM18,099.50) seauns atau RM581.91 segram pada suku ketiga.

Katanya, harga emas berpotensi mencapai paras AS$4,500 seaun pada suku keempat 2027, berbanding unjuran AS$4,065 (RM16,721.50) seaun atau RM537.61 segram bagi suku keempat 2026.

Bagaimanapun, ia berkata, pemulihan harga emas mungkin mengambil masa berikutan tekanan daripada hasil benar bon Amerika Syarikat (AS) yang tinggi serta kekuatan dolar AS yang masih menjadi kekangan utama dalam tempoh terdekat.

OCBC Group Research dalam laporan Unjuran Komoditi Separuh Pertama 2027 berkata, kenaikan harga emas yang ketara pada awal 2026 berakhir dengan pembetulan besar susulan tekanan inflasi berterusan, perubahan jangkaan dasar Rizab Persekutuan AS (Fed) ke arah lebih ketat serta peningkatan hasil sebenar bon.

Menurutnya, pemulihan yang berlaku selepas Pilihan Raya Pertengahan Penggal AS menunjukkan emas masih berupaya mencatat kenaikan dengan pantas apabila harga minyak, hasil bon dan dolar AS bergerak dalam keadaan lebih menyokong.

Namun, katanya, tekanan inflasi AS yang kekal tinggi serta kenyataan Fed yang lebih ‘hawkish’ sekali lagi mengehadkan momentum kenaikan harga emas.

OCBC Group Research berkata, kedudukan spekulatif dalam pasaran emas juga sudah berkurangan dengan ketara daripada paras yang terlalu tinggi sebelum ini, namun permintaan terhadap perlindungan daripada risiko penurunan harga masih ketara dalam pasaran pilihan.

Keadaan itu menunjukkan pelabur masih berhati-hati terhadap prospek emas, khususnya ketika hala tuju dasar monetari AS dan pergerakan hasil bon terus mempengaruhi sentimen pasaran.

Dalam laporan itu, kumpulan penyelidikan turut menjelaskan, emas secara sejarahnya berdepan tekanan ketika jangkaan pengetatan dasar Fed meningkat, terutama apabila keadaan itu disertai kenaikan hasil sebenar bon dan pengukuhan dolar AS.

Bagaimanapun, pengetatan dasar monetari tidak semestinya membawa kepada pulangan negatif bagi emas kerana prestasinya turut bergantung kepada pergerakan dolar AS, hasil sebenar bon serta aliran pelaburan.

Dari sudut permintaan struktur, kepelbagaian rizab bank pusat, ketidaktentuan geopolitik serta kebimbangan terhadap kedudukan fiskal dan hutang jangka panjang terus menjadi faktor yang menyokong prospek emas.

OCBC Group Research turut menyatakan pembelian bersih emas oleh bank pusat global meningkat semula pada suku kedua dan ketiga 2026, sekali gus memperlihatkan kepentingan permintaan institusi berkenaan dalam pasaran logam berharga itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news