Sektor pembetungan negara berpotensi berkembang melangkaui fungsi tradisionalnya sebagai perkhidmatan rawatan air sisa menerusi pemanfaatan sumber baharu yang mempunyai nilai ekonomi, sekali gus menyokong pembangunan mampan.
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP), Ir. Haji Alias Mohamed berkata, kemajuan teknologi dalam sektor berkenaan membuka peluang kepada penggunaan semula air sisa terawat serta produk sampingan rawatan kumbahan, termasuk sebagai sumber tenaga.
Baca juga: Demi penghormatan terakhir buat ayah, 3 anak Kapten AA sudah terima pasport -Saifuddin
Menurutnya, pendekatan tersebut turut membuka ruang kepada pembangunan ekonomi kitaran dalam sektor pembetungan, dengan mengambil kira aspek keselamatan, kualiti, piawaian teknikal, kebolehlaksanaan ekonomi dan keperluan kawal selia.
“Dengan kemajuan teknologi dan peningkatan keperluan terhadap pengurusan sumber yang cekap, air sisa terawat dan produk sampingan rawatan kumbahan berpotensi dimanfaatkan sebagai sumber baharu yang mempunyai nilai ekonomi.
“Antaranya termasuk penggunaan air pulih guna bagi tujuan yang bersesuaian, penghasilan biosolid untuk kegunaan yang dibenarkan serta pemanfaatan biogas sebagai sumber tenaga,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan perasmian Sambutan Hari Pembetungan Negara 2026 di IWK Eco Park, Pantai Dalam, Kuala Lumpur, hari ini.
Sambutan yang julung kali dianjurkan itu membawa tema ‘Pembetungan Lestari, Kehidupan Sejahtera’ bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan perkhidmatan pembetungan dalam aspek kesihatan, alam sekitar dan kesejahteraan hidup.
Alias berkata, pengurusan sistem pembetungan yang cekap amat penting bagi memastikan air sisa daripada kediaman, premis perniagaan dan pembangunan dirawat dengan sempurna sebelum dilepaskan semula ke alam sekitar.
Katanya, kegagalan menguruskan perkhidmatan tersebut dengan baik bukan sahaja menjejaskan kebersihan persekitaran, malah boleh mengancam kesihatan awam serta mengakibatkan pencemaran sungai dan sumber air.
“Justeru, pembetungan bukan sekadar soal pengurusan sisa. Ia merupakan sebahagian daripada sistem perlindungan kesihatan awam dan alam sekitar yang perlu diberikan perhatian sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu, Alias turut mengiktiraf sumbangan Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) sebagai rakan strategik utama dalam pengoperasian dan penyelenggaraan perkhidmatan pembetungan negara.
IWK kini menguruskan lebih 9,000 loji rawatan kumbahan dan stesen pam serta lebih 22,000 kilometer rangkaian paip pembetungan, yang memerlukan kepakaran teknikal, tenaga kerja berkemahiran dan penyelenggaraan aset secara sistematik.
Dalam aspek pembangunan infrastruktur, JPP turut mencatat enam pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi pelaksanaan projek pembetungan di Papan, Perak dan kawasan tadahan Lembangan Sungai Langat.
Antara pencapaian berkenaan termasuk pembinaan rangkaian paip pembetungan berdiameter nominal 2,100 milimeter menggunakan teknologi mikropenerowongan sepanjang 2.2 kilometer, kebuk masuk stesen pam sedalam 22 meter serta stesen pam berbentuk bulat berdiameter 45 meter.
Projek di Lembangan Sungai Langat pula mencatat rekod pembinaan paip pembetungan berbilang lengkungan berdiameter nominal 1,800 milimeter menggunakan teknologi mikropenerowongan dalam batuan sepenuhnya sepanjang 511 meter.

Sementara itu, Alias turut menggalakkan generasi muda meneroka peluang kerjaya dalam sektor pembetungan, khususnya dalam bidang kejuruteraan, teknologi rawatan, automasi, analisis data, penyelidikan dan inovasi alam sekitar.
Beliau berharap sektor berkenaan dapat dilihat sebagai bidang kerjaya yang berkepentingan kepada negara, selain menawarkan peluang kepada generasi muda untuk menyumbang kepada penyelesaian cabaran alam sekitar dan pembangunan mampan.


Pada masa sama, masyarakat diingatkan supaya menggunakan sistem pembetungan secara bertanggungjawab dengan tidak membuang sisa pepejal, minyak masak terpakai, lampin pakai buang dan tisu ke dalam tandas atau saliran bagi mengelakkan saluran tersumbat serta limpahan kumbahan.
Penganjuran Hari Pembetungan Negara 2026 turut menjadi platform untuk memperkenalkan peranan dan kepakaran JPP kepada masyarakat, memperkukuh kerjasama strategik antara agensi kerajaan, industri, akademia dan komuniti serta meningkatkan minat pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).