KUCHING – Seramai 400 murid daripada keluarga kurang berkemampuan dari 25 sekolah di Kuching dan Padawan menerima sumbangan kelengkapan persekolahan menerusi Program Ceria Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di PCC Demak di sini pada Ahad.Program anjuran YKN dengan kerjasama rakan strategik itu menyediakan baucar pakaian sekolah bernilai RM100 yang boleh ditebus di Mydin, beg sekolah, beg aktiviti kokurikulum dan susu Dutch Lady kepada setiap murid bagi meringankan beban perbelanjaan keluarga menjelang sesi persekolahan 2027.Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bantuan itu diharap dapat memberi semangat kepada murid untuk memulakan sesi persekolahan baharu.”Melalui Ceria Kasih Yayasan Kebajikan Negara, kita menyampaikan sumbangan kelengkapan persekolahan untuk meringankan belanja keluarga.”Saya harap bantuan ini memberi semangat kepada anak-anak pada hari pertama persekolahan nanti,” katanya ketika menyempurnakan penyampaian simbolik sumbangan berkenaan.Program itu turut menyediakan sesi sokongan emosi menerusi Mindness Tour Kaunseling Kasih oleh Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) YKN serta perkongsian mengenai hak dan perlindungan kanak-kanak oleh Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK), Jabatan Kebajikan Masyarakat.Nancy turut mengingatkan ibu bapa supaya memantau penggunaan gajet anak-anak, termasuk aplikasi yang digunakan dan individu yang dihubungi dalam talian, selain menetapkan peraturan penggunaan bersama mereka.Program sama dijadualkan diteruskan minggu depan dengan sumbangan kepada 200 lagi murid di Padawan.
Program Ceria Kasih YKN ceriakan sesi persekolahan 2027
Malay News | https://www.malay.news/program-ceria-kasih-ykn-ceriakan-sesi-persekolahan-2027/