LATEST

‘Kenderaan berat ini merosakkan paip air di tepi jalan’

‘Kenderaan berat ini merosakkan paip air di tepi jalan’

austin@nst.com.my

Baca juga: 35 tahun berlalu, Sheila Majid hidupkan kembali magis Legenda

Banting: Bantahan penduduk berhubung kehadiran lori membawa muatan berlebihan melalui jalan di Kampung Sungai Lang Tengah di sini, memuncak semalam apabila sebuah lori membawa batang besi terbabas dan terjunam ke dalam parit.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.30 pagi itu dipercayai berpunca dari kegagalan pemandu lori mengawal kenderaannya ketika melalui selekoh menuju ke tapak pembinaan berhampiran.

Ratusan batang besi bertaburan di dalam parit sekali gus memaksa laluan berkenaan ditutup apabila kerja-kerja pembersihan mengambil masa lebih 12 jam.

Ketua Kampung Sungai Lang Tengah, Noor Azura Mohamed Nasir berkata, penduduk bersama ketua kampung berhampiran serta agensi penguat kuasa pernah mengadakan empat kali pertemuan dengan pihak pemaju bagi menyelesaikan isu itu.

“Namun, sehingga ke hari ini, tiada sebarang keputusan dibuat oleh pihak pemaju dan masalah ini masih berlarutan. Kami juga tidak menerima sebarang maklum balas walaupun tempoh akhir yang diberikan oleh mereka sudah tamat.

“Kini kemalangan sudah pun berlaku sedangkan isu kerosakan dan keretakan pada rumah penduduk masih belum diselesaikan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Noor Azura turut memaklumkan bahawa pihaknya menerima surat bantahan daripada tiga sekolah yang bimbang keselamatan pelajar mereka.

Menurutnya, isu itu bukan sekadar membabitkan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat, tetapi turut mempertaruhkan keselamatan dan kebajikan penduduk kampung.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan, Muhamad Saiful, 46, berharap insiden terbaru itu dapat membuka mata pihak berkuasa berkaitan untuk mengambil tindakan segera.

“Kami menyedari bahawa lori-lori yang membawa muatan berlebihan ini mula menggunakan jalan kampung pada awal pagi.

“Malah terdapat juga insiden di mana kenderaan berat ini merosakkan paip air di tepi jalan, papan tanda serta landskap kampung,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Faiz Zulfadli Abd Fitri, 33, berkata, ahli jawatankuasa kampung ditugaskan untuk memantau kawasan persimpangan jalan pada waktu malam bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.

“Saya amat berharap pihak pemaju dapat memberikan kerjasama dan memahami kebimbangan kami. Jangan tunggu sehingga kemalangan jiwa atau insiden yang lebih serius berlaku barulah tindakan mahu diambil,” ujarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news