KUALA LUMPUR: Kehadiran lapan pemenang pingat Sukan Komanwel Glasgow 2026 bakal menyemarakkan persaingan Kejohanan Akhir Siri World Bowls (WBS Finals) 2026 yang menghimpunkan 24 jaguh dunia di Pusat Boling Padang Kebangsaan, Bukit Kiara, dari 2 hingga 4 Disember ini.
Baca juga: Abby, tiga anak kembali ukhwah
Kejohanan berprestij itu membabitkan 12 pemain lelaki dan 12 wanita dari 10 negara yang bukan sahaja memburu gelaran juara, malah mahu mengukuhkan kedudukan masing-masing dalam ranking dunia sebelum tirai musim 2026 dilabuhkan.
Lebih menarik, saingan kali ini menemukan barisan pemain yang mencipta kejayaan di Glasgow, termasuk juara perseorangan lelaki, Sam Tolchard dari England serta Gary Kelly dari Ireland yang membawa pulang emas acara pairs lelaki dan gangsa perseorangan lelaki.
Malaysia turut mempertaruhkan tiga pemain yang meraih pingat di temasya berkenaan, iaitu Izzat Shameer Dzulkeple yang memenangi perak perseorangan lelaki, Mohammad Soufi Rusli (gangsa pairs lelaki) dan Aleena Ahmad Nawawi (perak pairs wanita).
Presiden Persatuan Boling Padang Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, segala persiapan bagi memastikan kelancaran penganjuran kejohanan berkenaan berjalan mengikut perancangan, manakala gelanggang pertandingan berada pada tahap terbaik.
“Secara keseluruhan, semua persiapan bagi menganjurkan Kejohanan Akhir Siri World Bowls 2026 berjalan lancar dan venue juga berada dalam keadaan terbaik.
“Dalam tempoh dua tahun ini, Malaysia dipilih sebagai tuan rumah bagi dua kejohanan berkelas dunia. Pada 2025, kita menganjurkan Piala Dunia dan berjaya muncul juara keseluruhan. Tahun ini, sekali lagi Malaysia diberi kepercayaan menganjurkan WBS Finals 2026,” katanya.
Awalan berkata, kejohanan kali ini turut membawa nilai tambah apabila bakal disiarkan di 11 negara, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai peminat antarabangsa mengikuti perkembangan sukan boling padang di Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd