LATEST

Pengalaman bantu rakan nahas bas Gerik beri pengajaran besar kepada Nor Muhammad Sakri

Pengalaman bantu rakan nahas bas Gerik beri pengajaran besar kepada Nor Muhammad Sakri

Ipoh: Pengalaman membantu rakan yang terbabit tragedi nahas bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik tahun lalu, memberi pengajaran besar kepada Nor Muhammad Sakri Nur Zuraidi terhadap tanggungjawab menghulurkan bantuan meskipun dalam keadaan serba terbatas.

Baca juga: 24 jaguh dunia buru gelaran di Bukit Kiara

Mengimbas detik itu, Nor Muhammad Sakri, 24, berkata, bimbang nasib rakan yang terbabit dalam kemalangan ngeri itu serta keperluan segera di lokasi kejadian, mendorong beliau bergerak keluar dari UPSI di Tanjong Malim seawal 3 pagi untuk menghulurkan bantuan.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk (Animasi) dengan Kepujian itu berkata, sebaik menerima berita kemalangan, fikirannya terus tertumpu kepada keadaan rakan.

“Bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), kami memutus untuk terus bergerak ke lokasi kemalangan dari UPSI. Kami rasa dalam keadaan itu, kami tak boleh hanya duduk diam kerana ada rakan-rakan yang memerlukan bantuan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada 26 November lalu, Nor Muhammad menerima Anugerah Khas Kepimpinan Alumni (Dr.) Sani Araby sempena Istiadat Konvokesyen UPSI ke-28 atas komitmen beliau membantu mahasiswa universiti itu dalam kemalangan bas yang mengorbankan 15 nyawa di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) pada 9 Jun tahun lalu.

Selain itu, anugerah berkenaan juga bagi mengiktiraf kecemerlangan anak kelahiran Besut, Terengganu terbabit dalam bidang kreatif, kepimpinan mahasiswa, kesukarelawanan dan sukan.

Bercerita lanjut, Nor Muhammad berkata sebaik tiba di lokasi, beliau dan rakan-rakan mendapati kawasan kejadian telah dikawal pihak berkuasa menyebabkan mereka tidak dapat membantu secara langsung dalam urusan menyelamatkan mangsa.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, mereka tetap berusaha membantu dengan menguruskan perkara berkaitan mangsa, termasuk menghubungi ibu bapa dan keluarga bagi menyampaikan maklumat terkini mengenai keadaan anak masing-masing.

“Perjalanan dari UPSI ke lokasi mengambil masa lebih tiga jam. Sebaik tiba, kami melihat anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), polis serta pihak berkuasa lain sedang menjalankan operasi menyelamatkan mangsa.

“Kami tidak dapat membantu secara langsung selain tergamam melihat keadaan kemalangan yang begitu tragis. Apa yang mampu dilakukan ialah menghubungi ibu bapa dan keluarga mangsa untuk menyampaikan maklumat serta perkembangan mengenai kejadian itu,” katanya.

Nor Muhammad Sakri berkata, mereka kemudian menggerakkan kutipan sumbangan dalam kalangan mahasiswa dan pihak luar bagi membantu meringankan beban keluarga mangsa, termasuk pelajar yang terselamat.

Beliau berkata, usaha mengumpulkan sumbangan itu dilakukan dengan kerjasama pihak pengurusan UPSI bagi memastikan bantuan dapat diselaraskan dan diagihkan kepada keluarga yang memerlukan.

“Dalam tempoh dua hingga tiga hari, kami mengumpulkan sumbangan wang dan barangan keperluan seperti beras serta makanan untuk diagihkan kepada keluarga mangsa, termasuk waris pelajar yang terkorban dan mereka yang terselamat,” katanya.

Ditanya mengenai pengiktirafan yang diterimanya, Nor Muhammad Sakri menyifatkan anugerah itu sebagai penghargaan di luar jangkaan kerana beliau hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang mahasiswa dan rakyat Malaysia.

“Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir usaha kecil yang kami lakukan ini akan mendapat pengiktirafan. Bagi saya, yang lebih penting ialah kami dapat membantu rakan-rakan dan keluarga mereka ketika berdepan saat sukar.

“Pengalaman itu mengajar saya bahawa dalam apa jua keadaan, kita perlu ada rasa tanggungjawab dan tidak hanya mengharapkan orang lain untuk bertindak apabila ada pihak yang memerlukan bantuan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news