LATEST

Dari AKPS ke Pejabat KPN! Shuhaily kembali bertugas di Bukit Aman

Dari AKPS ke Pejabat KPN! Shuhaily kembali bertugas di Bukit Aman

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan kembali berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah pejabat Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Khalid Ismail.

Memetik laporan NSTP, Shuhaily kini ditempatkan di Sekretariat Perancangan Strategik dan Hal Ehwal Antarabangsa KPN dengan pangkat Komisioner Polis (CP), iaitu pangkat yang pernah disandangnya sebelum ini.

Baca juga: ‘Kenderaan berat ini merosakkan paip air di tepi jalan’

Berdasarkan notis yang ditandatangani Khalid, pertukaran tersebut berkuat kuasa pada 24 November lalu.

Bagaimanapun, Shuhaily enggan memberikan sebarang ulasan ketika dihubungi bagi mendapatkan pengesahan mengenai perkara tersebut.

Usaha mendapatkan maklum balas daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Khalid turut dilakukan, namun tiada pengesahan rasmi diterima setakat ini.

Terdahulu, pada 21 Oktober lalu, Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas pertuduhan mencederakan dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada September lalu.

Susulan itu, Saifuddin memaklumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan untuk menamatkan penempatan Shuhaily secara pinjaman di AKPS.

Namun, Shuhaily dilihat kembali menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah AKPS pada 2 November lalu apabila mempengerusikan mesyuarat komander selepas dilaporkan bercuti pada minggu sebelumnya.

Pada 14 November lalu, Khalid memaklumkan pihaknya masih belum menerima sebarang arahan mengenai kepulangan Shuhaily ke pasukan polis.

Menurutnya, Shuhaily masih menjalani kontrak selama dua tahun sebagai Ketua Pengarah AKPS menerusi pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum menerajui AKPS pada 1 Julai tahun lalu, Shuhaily pernah berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Latest news