Remaja tikam bayi: JKM beri intervensi bersesuaian

Remaja tikam bayi: JKM beri intervensi bersesuaian

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan intervensi bersesuaian secara holistik menggunakan pendekatan psikososial ke atas kes remaja yang disyaki menikam bayinya baru-baru ini.

Kementerian itu dalam kenyataannya menyebut, tindakan serta-merta diambil dengan menyantuni remaja tersebut dan ibunya pada 8 Februari lalu demi kebajikan remaja itu.

“Sepanjang berada di dalam tahanan polis sama ada di lokap atau hospital, JKM melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah membuat lawatan dan menyalurkan bantuan bersesuaian termasuklah perkhidmatan psikologi.

“Ibunya juga diberi kaunseling dan intervensi awal bagi memastikan kestabilan emosi keluarga dalam menghadapi situasi mencabar ini,” demikian kenyataan tersebut hari ini.

Dalam pada itu, kementerian berkenaan menjelaskan, kanak-kanak yang berdepan dengan konflik undang-undang perlu diuruskan melalui peraturan dan perundangan sedia ada seperti Akta Kanak-kanak 2001 dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC).

Pada 8 Februari lalu media melaporkan, seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan mati dalam keadaan ngeri dipercayai ditikam ibu kandungnya sendiri berusia 15 tahun dalam kejadian di daerah Kemaman, Terengganu.

Sementara itu, pendekatan holistik melalui pendidikan seksual reproduktif, kesedaran dan kaunseling serta khidmat nasihat untuk wanita yang sedang menjalani kehamilan tidak diingini perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan hal sama berulang.

“Kementerian melaksanakan pelbagai inisiatif bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan menyediakan peti pelindung bayi (baby hatch) bagi mengelakkan kes pembuangan bayi.

Pada masa sama, bayi yang dibuang ibu bapa akan mendapat hak penjagaan keluarga dan kasih sayang melalui permohonan anak pelihara.

“Bagaimanapun, baby hatch bukanlah satu-satunya penyelesaian kepada kes pembuangan bayi.

Kementerian melalui JKM turut menyediakan perkhidmatan perlindungan segera di empat Taman Seri Puteri (TSP) bagi kanak-kanak di bawah 18 tahun dan tiga Pusat Jagaan Sinar Kasih bagi memberi jagaan dan perlindungan segera kepada wanita hamil luar nikah termasuk bayi yang dilahirkan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, kementerian menyeru rakyat Malaysia terus menanamkan rasa cintakan keluarga dan menghargai anak-anak sebagai suatu amanah dan anugerah daripada tuhan selain menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak kerajaan, memupuk sikap ambil peduli kepada masalah kejiranan serta terus melaporkan sebarang kecurigaan di kawasan kediaman masing-masing kepada pihak berkuasa.

Rakyat juga diseru untuk melaporkan terus sebarang kejadian sebegini ke Talian Kasih 15999 dan Talian WhatsApp 019-2615999 yang beroperasi 24 jam selain boleh membuat laporan di 108 Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) di seluruh negara atau balai polis berdekatan. – UTUSAN

Scroll to Top