Padah gagal dedah caj pengurusan

Padah gagal dedah caj pengurusan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kegagalan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendedahkan caj pengurusan kepada penderma boleh membuka ruang kepada tindakan undang-undang.

Peguam dan aktivis undang-undang, Dr Mahmud Jumaat berkata, walaupun amalan mengenakan caj pengurusan sehingga sekitar 30 peratus tidak dilarang secara langsung di negara ini, isu utama yang sering timbul adalah berkaitan ketelusan dan pendedahan kepada penderma.

Menurutnya, garis panduan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) hanya mencadangkan had sekitar 30 peratus bagi kos pentadbiran namun ia bukan undang-undang yang mengikat, sebaliknya sekadar amalan tadbir urus terbaik.

“Menjadi persoalan bukan semata-mata peratusan itu, tetapi sama ada penderma dimaklumkan atau tidak.

“Jika NGO tidak menyatakan secara jelas bahawa sebahagian dana akan dipotong sebagai caj pengurusan, ia boleh dianggap sebagai salah nyata,” katanya.

Mahmud berkata, dalam kebanyakan kes, penderma menyumbang dengan kepercayaan bahawa dana mereka akan digunakan sepenuhnya atau sebahagian besar untuk tujuan kebajikan yang diuar-uarkan.

“Oleh itu, kegagalan mendedahkan potongan berkenaan boleh menjejaskan asas kepercayaan itu.

“Keadaan itu berpotensi membawa kepada liabiliti undang-undang, termasuk tindakan sivil atas dasar penipuan atau salah nyata sekiranya penderma merasakan mereka telah diperdaya,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa NGO memikul tanggungjawab tinggi untuk memastikan tadbir urus kewangan yang telus dan berakauntabiliti.

Menurutnya, ia termasuk menyediakan laporan kewangan, menyimpan rekod lengkap serta mendedahkan secara jelas bagaimana dana digunakan, termasuk peratusan untuk kos pengurusan.

“Ketelusan bukan pilihan, tetapi satu keperluan, NGO perlu mendapatkan keizinan atau sekurang-kurangnya memaklumkan kepada penderma mengenai penggunaan dana, termasuk caj pengurusan,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan yang boleh diambil, Mahmud berkata, pihak terbabit boleh membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat unsur penipuan atau pecah amanah.

Selain itu, katanya, tindakan pentadbiran juga boleh dikenakan oleh pihak berkuasa termasuk penggantungan atau pembatalan pendaftaran NGO sekiranya berlaku pelanggaran serius terhadap prinsip tadbir urus.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top