Islamabad: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi tiba di sini pada Jumaat ketika utusan Amerika Syarikat (AS) turut menuju ke ibu negara Pakistan itu bagi memulakan pusingan baharu rundingan damai.
Langkah ini di tengah-tengah gencatan senjata yang rapuh ketika konflik di rantau Asia Barat masih menunjukkan ketegangan berterusan.
Rumah Putih memaklumkan bahawa dua utusan khas, Steve Witkoff dan Jared Kushner akan terbabit dalam “perbualan secara bersemuka” dengan wakil Iran.
Bagaimanapun, media Kerajaan Iran melaporkan bahawa rundingan secara langsung antara kedua-dua pihak itu tidak akan berlaku buat masa ini.
Walaupun Presiden Donald Trump mengumumkan pelanjutan gencatan senjata selama tiga minggu di Lubnan, serangan Israel di selatan negara itu masih meragut enam nyawa.
Trump menyuarakan keyakinan terhadap prospek keamanan di Lubnan, namun usaha menamatkan konflik yang lebih luas di Asia Barat dilihat sebagai cabaran yang lebih besar.
Keutamaan kini turut diberikan kepada usaha membuka semula Selat Hormuz yang menjadi laluan utama bekalan minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia.
Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata, Witkoff dan Kushner dijadual tiba di Pakistan pada Sabtu untuk mengadakan perbincangan dengan delegasi Iran.
Katanya, pihak Iran sendiri yang menghubungi dan meminta perbualan secara bersemuka itu bagi menggerakkan usaha ke arah perjanjian damai.
Naib Presiden AS, JD Vance yang mengetuai rundingan pusingan pertama dua minggu lalu dilaporkan tidak menyertai misi kali ini, namun berada dalam keadaan bersedia.
Televisyen kerajaan Iran pula menegaskan bahawa Araghchi tidak mempunyai rancangan untuk bertemu wakil AS, sebaliknya Islamabad hanya menjadi ‘jambatan’ untuk menyampaikan cadangan Iran.
Kementerian Luar Pakistan mengesahkan bahawa ketibaan Araghchi bertujuan membincangkan usaha keamanan serta kestabilan serantau bersama pegawai-pegawai Pakistan.
Araghchi juga dijadualkan melawat Oman dan Rusia selepas ini bagi membincangkan usaha menamatkan konflik yang dilaporkan tercetus sejak Februari lalu.
Sementara itu, pasaran minyak dunia mula menunjukkan reaksi positif dengan penurunan harga susulan harapan terhadap pembukaan semula laluan perdagangan di Selat Hormuz.
© New Straits Times Press (M) Bhd



