am@hmetro.com.my
Guar Chempedak: Seorang lelaki ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 2 ketika sedang mengisi diesel ke dalam tong dipercayai menggunakan kad subsidi diesel (fleed card) milik ahli keluarganya di sebuah stesen minyak, di sini, semalam.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah dalam satu kenyataan berkata, sepasukan pegawai dan anggota KPDN Alor Setar menerima kes tangkapan lelaki warga tempatan oleh PGA Batalion 2 di lokasi.
Tangkapan dilakukan sekitar jam 9 pagi oleh pasukan PGA Batalion 2 dan dibawa ke Balai Polis Guar Chempedak untuk serahan kes kepada KPDN Negeri Kedah.
“Ketika tangkapan dilakukan, lelaki warga tempatan berusia 29 tahun itu sedang mengisi diesel ke dalam tong berwarna biru yang berada di bahagian belakang lori bertutup dengan kanvas.
“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit membuat pengisian sebanyak 150 liter diesel ke dalam tong berwarna biru tanpa memiliki permit khas dan juga dengan menggunakan ‘fleet kad’ percayai milik ahli keluarganya.
“Kes tangkapan itu diserahkan kepada KPDN Alor Setar untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM50,880, ” kata kenyataan itu.
KPDN Alor Setar membuka kertas siasatan berhubung tangkapan ini dan kes disiasat di bawah seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan mana-mana orang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
“KPDN Kedah memberi amaran keras bahawa sebarang cubaan oleh mana-mana pihak, sama ada individu mahupun sindiket yang cuba menyeleweng subsidi negara merupakansatu bentuk pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat dan negara.
“Tindakan penguat kuasaan paling tegas akan diambil tanpa sebarang toleransi, ” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



