SHAH ALAM: Seorang pemandu kereta Suzuki Alto yang tular memasuki laluan motosikal di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) di sini, Rabu lalu bertindak demikian akibat panik tersesat jalan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintenden Ramsay Anak Embol berkata, siasatan pihaknya mendapati kejadian melibatkan wanita berusia 69 tahun itu berlaku pada pukul 7.24 petang.
Katanya, ketika kejadian pemandu yang menetap di Banting sedang menuju ke rumah anak saudaranya di sekitar Pandamaran, Klang.
“Namun, setibanya di Kilometer 31.1 lebuh raya arah Klang ke Kuala Lumpur itu, wanita berkenaan tersesat jalan dan panik. Dia kemudian mahu membuat pusingan u namu tersalah memasuki laluan motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Ramsay, pemandu itu yang menyedarinya kemudian berhenti dan mengundurkan kenderaan dengan perlahan.
“Dia keluar semula ke laluan betul di lebuhraya berkenaan lalu berhenti di tepi jalan. Wanita itu kemudian menghubungi anak saudaranya untuk mengambilnya di kawasan tersebut,” jelasnya.
Tambah beliau, kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan dengan kenderaan lain.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melibatkan kesalahan memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain,” katanya.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 49 saat memaparkan sebuah kereta nyaris melanggar Alto dipandu wanita warga emas itu yang bertindak memasuki laluan motosikal tersebut.
Kereta wanita itu kemudian meneruskan perjalanan di lorong itu sebelum berhenti selepas dihon beberapa penunggang motosikal yang menggunakan laluan tersebut. – UTUSAN




