khairil.ashraf@hmetro.com.my
Foto Mohamad Shahril Badri
Kuala Pilah: Pekan Kuala Pilah dilihat meninggalkan pelbagai warisan sejarah yang boleh dimajukan dan mampu menarik kehadiran pelancong.
Walaupun ada dalam kalangan orang luar yang datang ke Pekan Kuala Pilah untuk membeli emas kerana harga ditawarkan lebih murah namun bangunan bersejarah yang ada juga dilihat mempunyai cerita tersendiri dan mampu menarik mereka untuk tinggal lebih lama di sini.
Menerusi tinjauan dilakukan, banyak bangunan di Pekan Kuala Pilah wujud sejak zaman merdeka dan ada yang berusia hampir 100 tahun.
Jika dipelihara semula, tidak mustahil Pekan Kuala Pilah mampu menandingi bangunan bersejarah seperti yang ada di Georgetown atau Melaka.
Bangunan yang ada di Pekan Kuala Pilah ini kebanyakannya mempunyai ‘tanda’ dari segi tahun ia dibina.
Di samping itu, terdapat juga peti pos besi sebelum kemerdekaan yang dipercayai masih lagi beroperasi sehingga kini.
Pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan yang mempunyai nilai sejarah ini juga diakui peniaga generasi ketiga di Pekan Kuala Pilah, Lo Chee Yong, 72.
Chee Yong turut mengambil contoh bangunan diwarisinya untuk berniaga daripada keluarga sebelum ini sudah berusia 100 tahun.
Menurutnya, dari segi material dalaman kedainya, kayu yang digunakan juga berusia 100 tahun.
Disebabkan itu juga, dia berharap bahagian luaran bangunan yang sedia ada di Pekan Kuala Pilah dipelihara dan dipulihara oleh pihak berwajib.
Katanya, sekiranya ia dipelihara dan dipulihara, ia memberikan pelbagai manfaat kepada penduduk, peniaga dan kerajaan negeri.
Antaranya memberikan limpahan rezeki kepada peniaga dengan kehadiran pelancong dalam dan luar negara ke Pekan Kuala Pilah.
“Bangunan yang sedia ada ini perlu dipulihara balik. Rugi kalau ia tidak ‘dicantikkan’.
“Kuala Pilah ini pun kurang pelancong, jika bangunan (bersejarah buruk) orang ramai tak akan datang untuk tengok,” katanya.
Chee Yong turut berpendapat, pihak berwajib perlu memperbanyakkan kedai serbaneka di Kuala Pilah kerana ia juga mampu membolehkan orang ramai untuk ‘singgah’ di kawasan ini, tidak hanya kedai yang menjual emas semata-mata.
“Kena memperbanyakkan kedai serbaneka, bukan kedai telefon atau kedai emas sahaja.
“Ada sesetengah orang datang ke Kuala Pilah sebab nak beli emas kerana harganya yang murah berbanding luar,” katanya.
Seorang lagi peniaga generasi ketiga di Pekan Kuala Pilah, Goh Kok Koon, 66, turut sependapat yang bangunan berusia hampir 100 tahun perlu dipelihara dan dipulihara.
Selain itu katanya, setiap bangunan mempunyai nilai sejarah dan warisan seharusnya diletakkan papan tanda agar pelancong atau orang ramai mengetahuinya.
Kok Koon yang mewarisi perniagaan makanan daripada keluarganya sejak 1934 berkata, bagi menarik orang ramai ke Pekan Kuala Pilah, tempat meletak kenderaan juga seharusnya diperbanyakkan.
“Kena memperbanyakkan tempat meletak kenderaan. Kalau tidak, susah. Pelancong kalau datang ke sini pun senang untuk mereka letak kereta,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




