57 kes AEFI penerima vaksin kanak-kanak

57 kes AEFI penerima vaksin kanak-kanak

bhnews@bh.com.my

NIBONG TEBAL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima 57 laporan kesan mudarat berikutan imunisasi (AEFI) bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang mendapatkan suntikan vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) setakat ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata 56 daripada kes berkenaan adalah dalam kategori tidak serius, manakala satu kes serius membabitkan kanak-kanak yang mempunyai sejarah penyakit asma, namun sudah sembuh sepenuhnya daripada AEFI selepas menerima rawatan di hospital.

“Kesan yang dilaporkan antaranya demam, sakit otot dan lenguh di tempat suntikan yang memang sering berlaku selepas divaksinasi. Ini gejala ringan yang biasanya akan hilang sepenuhnya selepas satu atau dua hari kemudian.

“KKM memantau rapat kes AEFI dan menasihati ibu bapa supaya memastikan anak-anak mereka yang menerima suntikan tidak terus membuat aktiviti lasak, selain segera melaporkan di aplikasi MySejahtera jika mereka mempunyai kesan selepas menerima vaksin,” katanya.

Memaklumkan demikian pada sidang media selepas meninjau perjalanan PICKids di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah, di sini hari ini, beliau berkata, Sarawak mendahului kadar penerimaan vaksinasi kanak-kanak, diikuti Melaka, Lembah Kelang, Perak dan Pulau Pinang, semua merekodkan antara 20 hingga 30 peratus.

Namun, katanya, kadar vaksinasi kumpulan usia berkenaan di Kelantan, Terengganu dan Sabah masih rendah, iaitu bawah 10 peratus, sekali gus usaha untuk meyakinkan ibu bapa di tiga negeri berkenaan giat dijalankan.

“Antara puncanya, kebanyakan ibu bapa masih ragu-ragu serta bersikap tunggu dan lihat. Namun, kita nasihatkan supaya mereka tidak berlengah lagi demi keselamatan anak-anak kerana tujuan vaksinasi adalah demi menyelamatkan nyawa dan mengurangkan risiko dimasukkan ke hospital.

“Ini kerana melalui rekod sepanjang Julai hingga Disember tahun lalu, didapati 278,000 kanak-kanak dijangkiti COVID-19 dengan 63 kematian direkodkan,” katanya menambah, KKM giat memberi penerangan terperinci kepada ibu bapa berhubung manfaat vaksin bagi melindungi kanak-kanak.

“Kita memang jemput pakar kanak-kanak untuk tampil memberi penerangan di stesen televisyen dan media sosial, termasuk mengadakan sesi webminar serta libat urus dengan beberapa jabatan berkaitan supaya ibu bapa lebih jelas,”katanya.

Sehingga kini, seramai 564,220 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sudah menerima suntikan pertama vaksin COVID-19.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top