Kes saman fitnah terhadap Tun Faisal 18 Ogos depan – Wan Saiful

Kes saman fitnah terhadap Tun Faisal 18 Ogos depan – Wan Saiful

SHAH ALAM – Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Wan Saiful Wan Jan memaklumkan writ saman fitnah yang difailkannya terhadap Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz telah diserahkan dan diterima oleh peguam defendan.

Wan Saiful berkata, pengurusan kes itu telah ditetapkan pada bulan hadapan.

“Peguam saya memaklumkan bahawa writ saman saya terhadap Tun Faisal telah dihantar dan telah diterima oleh peguam beliau.

“Pengurusan kes ditetapkan pada 18 Ogos 2026,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Dalam hantaran sama, Wan Saiful turut memuat naik salinan surat daripada firma guamannya yang menunjukkan writ saman dan penyata tuntutan telah diserahkan kepada peguam mewakili Tun Faisal, selain memaklumkan pengurusan kes akan berlangsung di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu menerusi peguamnya memfailkan saman terhadap Tun Faisal di Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam berhubung dakwaan berunsur fitnah yang mengaitkan dirinya dengan projek Jana Wibawa.

Dalam surat itu, beliau turut menuntut supaya Tun Faisal menarik balik kenyataan, memohon maaf dan membayar ganti rugi sebanyak RM10 juta atas kesalahan memfitnahnya.

Dalam pada itu, bekas Ketua Penerangan Bersatu memaklumkan, pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat perlu mengetahui bahawa calon Bersatu bagi kerusi berkenaan sedang berdepan saman fitnah.

Beliau turut menyatakan keyakinan proses mahkamah akan membuktikan dakwaannya berhubung kenyataan yang menjadi asas kepada saman tersebut.

“Insya-ALLAH proses mahkamah nanti akan membuktikan dia bercakap bohong dalam hal yang disaman,” ujarnya lagi.

Scroll to Top