Tujuh pemburu haram ditahan, dua senjata api dirampas

Tujuh pemburu haram ditahan, dua senjata api dirampas

bhnews@bh.com.my

KOTA KINABALU: Tujuh lelaki disyaki terbabit aktiviti pemburuan haram ditahan dalam operasi ‘Anti Poaching’ di Jalan Nangoh-Paitan di Beluran, berhampiran sempadan Hutan Simpan Paitan, di sini hari ini.

Dalam operasi kira-kira jam 1 pagi itu, pasukan penguat kuasa Jabatan Perhutanan Sabah turut merampas

dua senjata api dan beberapa peluru daripada suspek yang menaiki sebuah pacuan empat roda itu..

Ketua Konservator Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Federick Kugan berkata, ketika diperiksa semua suspek gagal menunjukkan sebarang permit untuk memburu hidupan liar ataupun lesen pemilikan senjata api.

“Walaupun semua suspek disyaki melakukan pemburuan hidupan liar, pemeriksaan tidak menemui sebarang bangkai binatang buruan.

“Semua suspek dan bahan rampasan kemudiannya dibawa ke di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Federick menasihatkan orang ramai tidak melakukan aktiviti pemburuan hidupan liar secara tidak sah.

Katanya, selain bertentangan undang-undang, perbuatan itu boleh menyebabkan kepupusan spesies fauna yang disenaraikan sebagai ‘rare, threatened and endangered’ (jarang, terancam dan hampir pupus) untuk haiwan seperti banteng atau tembadau.

“Sebarang maklumat berkaitan pemburuan hidupan liar secara haram juga perlu dilaporkan kepada Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar.

“Selain itu, penggunaan senjata api tanpa lesen sah juga menjadi kesalahan mengikut Akta Senjata 1960,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top