suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Gombak: Polis menjalankan siasatan berhubung cubaan pecah rumah di sebuah kediaman di Jalan N3, Taman Melawati, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi apabila penghuni rumah dikejutkan dengan bunyi penggera.
“Siasatan mendapati salah seorang penghuni rumah yang berada di tingkat atas rumah tempat kejadian telah dikejutkan dengan bunyi penggera (alarm).
“Apabila turun ke tingkat bawah, penghuni mendapati seorang lelaki yang tidak dikenali sedang cuba mengumpil kunci mangga pada pintu di bahagian tepi rumah.
“Suspek melarikan diri selepas penghuni menjerit meminta pertolongan.,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek adalah seorang lelaki memakai ‘hoodie’ berwarna biru serta pelitup muka.
Katanya, suspek dipercayai memasuki kawasan rumah dengan memanjat pagar sebelum melarikan diri menaiki sebuah Perodua Myvi berwarna ungu menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial rakaman CCTV memaparkan kejadian cubaan pecah rumah di sebuah kediaman di Taman Melawati.
© New Straits Times Press (M) Bhd




