Jualan program MyRakyat di Johor diramal meningkat – FAMA

Jualan program MyRakyat di Johor diramal meningkat – FAMA

KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) meramalkan peningkatan nilai serta kuantiti jualan 10 peratus di Johor pada tahun ini menerusi Program MyRakyat.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, Program MyRakyat antara usaha agensi itu dalam mempelbagaikan outlet pasaran kepada usahawan.

“(Ia adalah) untuk membantu Usahawan Agromakanan, Peserta Ladang Kontrak dan Usahawan Industri Makanan Asas Tani memasarkan hasil jualan segar serta runcit kepada komuniti setempat,” katanya melalui dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pada 2021 seramai 115 peserta terbabit Program MyRakyat FAMA Johor mengumpul nilai jualan RM279,704 di empat lokasi terpilih.

Katanya, di Agrobazar Pagoh, terdapat peningkatan nilai jualan RM911,807 pada 2021 berbanding RM387,936 bagi 2020 dan setakat 31 Jan 2022, nilai jualan dicatatkan ialah RM31,820.

“Impak pelaksanaan ialah pendapatan usahawan akan meningkat sebanyak 32 peratus iaitu RM595 hingga RM1,842 sebulan melalui program ini,” katanya.

Program MyRakyat dilaksanakan FAMA dengan sokongan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), menyediakan pelbagai program khidmat pemasaran oleh agensi itu.

Abdul Rashid berkata, antara program ditawarkan kepada pengguna ialah Jualan Terus Dari Ladang dan Jualan Terus Dari Kilang yang memasarkan jualan barangan segar serta runcit berkualiti.

“Pandemik COVID-19 memberi cabaran baharu kepada usahawan, pengeluar dan pengguna seperti kesukaran pasaran, pembatalan tempahan serta risiko kadar keberjangkitan menyukarkan perusahaan pemasaran agromakanan.

“Dalam hal ini, MAFI melalui FAMA mempergiat aktiviti pemasaran melalui outlet pasaran semasa serta usaha memperkukuh dan mempertingkat peluang untuk manfaat pengeluar, petani dan usahawan secara umum,” katanya.

Beliau berkata, program itu bermanfaat bagi menjalin hubungan perniagaan antara usahawan dan pengguna serta sebagai inisiatif mengurangkan kos sara hidup rakyat dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara. – BERNAMA

TAG: FAMA, MAFI, Program MyRakyat, Johor, PPN

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top